KEM IBADAH UNTUK KANAK-KANAK DI MASJID NEGARA

KUALA LUMPUR: Masjid Negara akan menganjurkan kem ibadah untuk kanak-kanak berumur sembilan hingga 11 tahun selama tiga hari mulai 10 Disember ini.


Menurut kenyataan akhbar Masjid Negara hari ini, kem itu antara lain mengandungi program riadah berkonsep, bisikan nurani, solat, mutiara iman, anak soleh permata negara dan interaktif. Ia terbuka kepada pelajar perempuan dan lelaki, "Program dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu bertujuan melahirkan generasi yang taat, berakhlak mulia dan mempunyai jati diri yang tinggi dalam menghadapi ujian dan cabaran selain melahirkan generasi soleh dan solehah serta cemerlang di dunia dan akhirat," menurut kenyataan itu.

Pembimbing program terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi.

Yuran penyertaan adalah RM30 seorang yang tidak akan dikembalikan sekiranya peserta menarik diri.

Mereka yang berminat diminta menghubungi urus setia program menerusi talian 03-26937784, Ustaz Naziz di talian 012-6870352 atau Ustaz Nik Reduan di talian 019-2064963. - BERNAMA

Ini pula laporan Kem Ibadah Siri 1 yang diadakan pada Jun tahun ini.

Kem Ibadah Kanak-Kanak Siri 1/2010 anjuran Masjid Negara

Sempena awal musim cuti persekolahan, Masjid Negara telah menganjurkan Kem Ibadah Kanak-Kanak siri 1/2010 pada 4-6 Jun 2010 (Jumaat – Ahad) bertempat di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Seramai 90 orang peserta berumur 10-12 tahun dari sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Kelang menyertai program ini.

Program ini juga adalah sebagai respon daripada cadangan Y.Bhg Dato' Ketua Pengarah JAKIM agar setiap masjid-masjid utama menyusun pelbagai program bersempena dengan musim cuti persekolahan agar musim cuti persekolahan mereka tidak sia-sia dan diisi dengan pengisian rohani dan program-program yang berfaedah. Antara objektif utama kem ini diadakan ialah memberi didikan dan kesedaran kepada peserta tentang tanggungjawab mereka terhadap kedua ibu bapa, mencorak akhlak yang mulia, penekanan solat 5 waktu dan panduan mengisi waktu cuti persekolahan dengan aktiviti dan perkara yang berfaedah.

Antara pengisian program sepanjang 3 hari 2 malam ialah Mutiara Iman, Bisikan Nurani, Riadhah Bekonsep,Qiamullail dan ceramah Anak Soleh Permata Ibunda yang disampaikan oleh Ketua Fasilitator Ustaz Haji Zulkarnain bin Itam dari Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Program pada tahun ini mendapat sambutan dan yang begitu memberansangkan daripada kedua-ibu bapa berdasarkan maklum balas ibu bapa dan permohonan penyertaan yang melebihi sekali ganda kuota penyertaan dibuka.

Majlis perasmiaan penutup disempurnakan oleh wakil Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan bin Hosni. Majlis juga diserikan lagi dengan kehadiran wakil media seperti Bernama TV, Utusan Malaysia, Berita Harian dan juga Metro.

0 comments: