Ya, tajuk ni memang satu sindiran, tapi itu realiti di Malaysia.
Saya sampai rasa sesak nafas bila tengok budaya memuja hiburan atau hedonisme di negara ini, yang kononnya sebuah negara Islam. Yang saya tau negara umat Islam, tetapi bukan negara Islam.
Pernah tonton sebuah iklan, saya tak ingat dah iklan apa, yang menunjukkan bagaimana bayi didodoikan oleh bapanya dengan petikan gitar kot. Masa tu terdetik dalam hati, alangkah bagusnya kalau dialunkan dengan ayat Al-Qur'an. Atau setidak-tidaknya zikir-zikir ketuhanan dan selawat nabi. Tetapi sedihnya hiburan yang bertentangan dengan Islam tu jugalah yang digalakkan.
Contoh iklan lain, iklan susu, jenama apa saya tak pasti sebab anak saya minum susu ibu. Dalam iklan tu, ada budak menyanyi atas pentas dedikasi untuk si ibu. Pentas tu adalah sebuah pertandingan nyanyian tak silap saya. Si ibu pula terharu yang amat sampai mengalirkan air mata. Hohoho....adakah dengan pandai menyanyi dan menang pertandingan menyanyi tu maknanya susu tu bagus? dan adakah itu yang diimpikan oleh setiap ibu di Malaysia? anak jadi artis?
Realiti TV untuk kanak-kanak. Sebenarnya dah lama ada realiti tv untuk kanak-kanak ni, tapi dulu takdela banyak sangat. Kalau adapun banyaknya untuk jadi pengacara macam kanak-kanak angkasapuri dulu tu. Tapi sekarang ni sejak adanya saluran tv swasta, makin menjadi-jadi pulak. Anak-anak seawal usia 2 tahun rasanya dah diajar berhibur di pentas. Tak cukup dengan menonton rancangan tersebut di TV, dibuka pula sesi ujibakat untuk semua yang berminat. Ingat lagi betapa berbulunya telinga saya mendengar iklan yang saya transkrip dalam satu projek "Adik-adik mempunyai bakat menyanyi, menari, berlakon....sila datang ke uji bakat TTB di bla bla bla..." huhuhu. Rasanya kalau setakat ujibakat bercerita, bersyair, bersajak, berpantun tu ok lagi..ini tidak, dah macam artis pulak budak-budak ni. Yela, yang masuk tu memang nak jadi artis la kot kan, sebab budaya memuja artis dan hiburan yang disuap kepada mereka. Tengok saja macam mana mereka menyanyi di pentas TTB tu, serba-serbi menjadi macam artis, kalau yang lelaki tu menari hip hop hup hap semua boleh, yang perempuan tu melenggang lenggok lenggak semua jadi. Cuba suruh baca Al-Fatihah, mengucap dua kalimah syahadah tengok? Asma ul Husna toksah cakap la kan.
Untuk remaja, tak payah saya list kan lagi di sini..macam-macam ada, kat mana-mana pun ada, nak jadi penyanyi, nak jadi pelakon, nak jadi pengacara, nak jadi model, nak jadi apa lagi? cakap je semua ada. Mujurnya nak jadi imam dan qari pun ada. Tapi tak balance. Semua tu untuk jadi penghibur, untuk jadi public figure. Tengok saja masa uji bakat, berderet-deret, berbaris-baris tunggu giliran. Adakah generasi muda hari ni impiannya kalau boleh nak jadi penghibur saja? Kalau boleh nak masuk juga dunia hiburan tu. Padahal saya tengok bukanlah semua artis tu mewah pun. Kena yang mewah tu mewahla, tapi ada juga yang melarat. Sebab rezeki tidak berkat. Saya paling kesal apabila seseorang yang dulu imejnya baik, artis nasyid...akhirnya kalah dengan permainan hiburan ni. Last-last lagi lebih-lebih lupa akhiratnya. Sebab apa, sebab seronoknya jadi penyanyi dan seronoknya jadi penghibur. Tahniah dan selamat berhijrah buat artis yang telah memulakan jalan baru mencari redha Ilahi.
Ok, kalau beberapa tahun yang lalu realiti tv biasanya sinonim dengan remaja, kebelakangan ni dah dibuka pula kepada warga yang sedikit berusia. Sampai 40 tahun kot tak silap saya. Yang dah bergelar nenek pun dengan bangganya mencuba nasib. Apa lagi yang dicari, kalau yang remaja kita katakanlah gelojak dalam diri dalam mencari identiti ataupun mencari peluang untuk menampilkan diri. Yang dah mula dimakan usia ni, nak buat apa lagi? Kalau orang lain masa ni la nak mula-mula kenal masjid, nak dengar majlis ilmu, alahaiiii...
Yang terbaru ni, memang saya menyumpah dan menyampah. Kilauan Emas. Untuk warga emas la kan. Sebabnya sampai yang bergigi palsu pun diajak menyanyi, penaja kata takpe, gunalah P***dent. Saya tempek sikit apa kata pengurus saluran tv tersebut, dan kita timbang-timbanglah sendiri dengan budaya hedonisme ni:
“Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi kedudukan A***o P***a sebagai sebuah saluran keluarga yang menghiburkan, kami bawakan pula sebuah program Kilauan Emas yang merupakan sebuah lagi testimoni saluran ini dalam menawarkan program-program hiburan beraneka genre dan format khusus untuk tontonan ramai.
“Setiap generasi penonton sasaran berhak untuk menikmati hiburan yang sesuai dengan usia dan kecenderungan mereka. Oleh yang demikian, kami berasakan sudah tiba masanya bagi pihak A***o untuk menyediakan platform kepada generasi ini pula untuk menonjolkan bakat yang ada tetapi mungkin tidak berpeluang untuk berbuat sedemikian sebelum ini.”
Saya bubuh warna merah menandakan kecemasan atau tragedi. Kesianlah kat warga tua kita, kot-kot ada yang rasa-rasa boring anak-anak jauh, teringat nak ke masjid dengar kuliah. Di samping jumpa kawan, dapat juga pahala. Nanti dah ada kilauan emas ni, niat nak ke masjid kot boleh jadi cancel. Ye la, mengimbau kenangan lagu-lagu masa muda. Tu belum lagi yang ikut serta. Jenuh dok berlatih je la kot. Saya risau, risau, risau. Kalau dah yang tuanya pun sama-sama jadi kaki hiburan, siapa nak diharapkan menegur yang muda. Kena pulak yang muda dari kecil lagi dah disogok dengan hiburan sepanjang hayatnya.
Ini baru hiburan di tv ye kawan-kawan. Macam-macam lagi bentuk hiburan yang disogokkan kepada kita dalam sedar ataupun tak sedar. Saya tidaklah anti hiburan, saya pun menonton tv juga, dengar juga radio sekali sekala dalam kereta, tapi yang saya risaukan adalah kelekaan, keasyikan dan segala agenda hiburan yang disediakan untuk masyarakat terutamanya yang Islam. Agenda untuk melalaikan.
1 comments:
Semua ni makin menjadi2 lepas ada Asteruk ni laa..
Budak2 sekarang kecil2 dah di dedahkan dgn hiburan macam ni, gini la jadinya. Kita kecik2 dulu tak wujud lagi benda2 camni. Setakat kita tengok artis jer yang menyanyi.
Kami kat sini terus ambil langkah drastik, ban terus TV dalam rumah.
Post a Comment