Gambar dari google
Gambar di atas ialah sejenis ulam yang dipanggil kacang botol. Kacang botol dikatakan tumbuhan tropika berasal dari Papua New Guinea, tetapi ia mudah ditemui di negara ini dan juga beberapa negara jiran seperti Filipina, Indonesia dan Thailand sehingga ke India serta Sri Lanka.
Tumbuhan ini memang mudah tumbuh dalam cuaca lembap tropika dengan kadar jumlah hujan yang banyak. Ada juga beberapa jenis kacang botol yang mudah ditanam di Amerika Syarikat. Memandangkan sifat kacang botol yang mengikat nitrogen daripada atmosfera, ia tidak memerlukan baja dan jika ada, jumlahnya hanya sedikit.
Seluruh bahagian kacang botol atau juga dikenali sebagai kacang kelisa ini sebenarnya banyak kegunaannya. Jika batangnya digunakan sebagai sayuran, bahagian lain seperti daun, bunga dan akar ada kegunaannya yang tersendiri.
Misalnya bunga kacang botol boleh digunakan untuk mewarnakan nasi atau pastri manakala daunnya yang muda juga boleh dibuat sayuran. Kacang botol mengandungi banyak protein manakala kacang botol yang lebih muda didapati memiliki kalsium, besi dan vitamin A. Daunnya juga mempunyai protein, vitamin A, vitamin C serta garam galian. Nilai kandungan protein pada kacang ini didapati lebih tinggi berbanding sayuran tropika lain daripada jenis kekacang.Asid aminonya pula mempunyai persamaan dengan kacang soya dengan kira-kira 30 peratus kandungan karbohidrat.
Tumbuhan ini juga turut digunakan dalam perubatan tradisional misalnya merebus daun kacang botol sengan campuran lain yang disapu ke seluruh badan bagi meredakna demam campak. Ada juga yang menggunakan daunnya yang boleh dimakan untuk merawat ulser kulit. Selain dimakan mentah, kacang botol sering dijadikan kerabu.
(Dipetik daripada Harian Metro 11 Januari 2010)