Alhamdulillah, hari ini sudah 23 Ramadhan 1438H.
Ramai yang sudah terasa cepatnya masa berlalu. Sungguh, masa berlalu pada zaman sekarang ni terasa terlalu cepat, apatah lagi bulan istimewa ini, memang rasa macam nak tahan je supaya masa tidak berlalu terlalu pantas.
Biasanya, bila semakin hampir berakhirnya Ramadhan, soalan yang biasa ditanya tak kisahlah sesama kawan-kawan, di media sosial, di corong radio, berbunyi begini: "Macam mana persediaan raya? Baju raya dah ada? Berapa pasang?"
Secara peribadi, pada saya...soalan pertama tu ok, sebab persediaan raya tu general, macam-macam. Kemas rumah pun persediaan raya, plan balik kampung pun persediaan raya, beli bahan mentah nak masak pun persediaan raya. Tapi semacam tak lengkapkan kalau tak termasuk pakaian baru untuk dipakai pada hari raya. Saya rasa, sudah sampai masanya masyarakat kita refresh dan fahami semula tentang 'baju raya'. Usah dijadikan trend turun-temurun diikut tanpa kita memahami mengapa kita berbuat demikian, paling penting bagaimana pandangannya menurut Islam.
Saya terkesan dengan status seorang sahabat di Facebook, yang berbaur sedih tidak ada baju raya baru tahun ini. Ya, semua maklum tahun 2017 ialah tahun ekonomi Malaysia gawat. Gawat sungguh-sungguh sehingga memberi kesan langsung yang hebat kepada rakyat. Jadi, memang ada antara kita yang tidak memperuntukkan belanjawan untuk 'baju raya', terutamanya emak-emak dan ayah-ayah. Mungkin baju raya anak-anak tetap ada, sehelai dua atas faktor saiz anak yang semakin membesar, dan juga untuk menggembirakan anak-anak.
Usah bersedih, dan usah malu jika tidak berbaju raya baru. Usah segan kalau baju raya kita tahun ini tak sama fesyen mengikut trend semasa. Tahun inikan trend Saloma, lip lap lip lap dan juga bulu-bulu :) Tudung pula macam-macam dah sekarang, yang saya memang tak ikut pun perkembangannya. Saya petik sedikit daripada artikel tulisan Ustaz Zaharuddin tentang amalan yang digalakkan dilakukan pada hari raya Aidilfitri. Salah satunya ialah;
"Memakai pakaian terbaik yang ada. Perlu mengikut kemampuan dan tidak dibenarkan berlaku pembaziran. Jangan sampai membazir, dan jangan sampai menghina pakaian orang lain"
Jadi, berbaju raya baru itu tidak sampai tahap wajib pun sebenarnya. Yang digalakkan ialah memakai pakaian yang bersih dan baik. Mungkin baju yang dibeli awal tahun hari tu ialah pakaian terbaik kita. Atau, baju raya haji tahun lepas, boleh jadi baju 3 tahun lepas? Baju kan benda yang tahan lama, kecuali saiz badan kita berubah. hehe.
Dalam keadaan ekonomi sekarang, suka saya ajak sahabat semua berjimat-cermat, dan bersederhana. Dahulukan apa yang lebih penting. Misalnya, membayar zakat fitrah ah dan infak di bulan Ramadhan itu lebih dituntut. Servis kereta untuk kegunaan balik ke kampung itu lebih penting sebab melibatkan nyawa dan keselesaan kita sekeluarga. Pulang berhari raya menziarahi ibu bapa dan sanak saudara itu lebih dituntut kerana tujuannya untuk mengeratkan silaturrahim. Membeli makanan tuk dijamu seadanya itu juga lebih baik kerana meraikan tetamu. Kita sendiri tahu apa yang priority untuk kita dan keluarga. Kalau memang berkemampuan, apa salahnya...silalah beli sekadarnya, tak perlu sampai 20 pasangkan. Kerana menurut Islam sambutan Aidilfitri hanya sehari. Selebihnya adalah sambutan Aidilfitri 'gaya Malaysia'. Risau berlaku pembaziran.
Akhir kata (kena stop tulis, anak dah merengek nak tengok Didi..haiila), beraya secara bersederhana itu lebih nikmat. Tak percaya, cubalah :)