Alhamdulillah, setelah sekian lama tak buat review. Dulu-dulu rajin buat review drama Korea. Ahaha..entah apa faedahnya. Sekadar suka-suka. Tapi kali ini dipanggil untuk buat review buku sebagai satu tugasan sebagai peserta Seminar Penulisan Mega Bonda Nor Online yang bakal berlangsung ESOK. Amboi, memang last minute punya kerja ni. Bukan sengaja, ada urusan lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Mulanya semasa terima tugasan, saya terfikir untuk buat review buku lain yang saya dah lama baca, tapi buku tu kakak saya pinjam. Tak sedap pula nak review tanpa belek semula bukunya. Maka saya pilih buku Sukar Tapi Sukses (STS) ini, kebetulan dalam Live bersama Uitm semalam banyak kali Bonda Nor tayangkan buku ni. Bila dah baca, nun sampai meresap ke jiwa roh seorang pendidik. Tiba-tiba rasa macam nak jadi cikgu tadika pulak. Tapi..hai..orang garang macam saya, baiklah ajar anak sendiri dulukan?
Pertama sekali, saya nak ulas tentang muka hadapan buku STS ini. Tajuk buku memang 'menangkap' di mata, jelas dengan tulisan warna merah dan font yang mudah dibaca. Di situ, pembaca tahu buku ini bersifat terus, bukan buku sastera atau jiwang. Warna muka hadapan, walaupun warna kelabu menjadi pilihan, namun gambar bunga dan rama-rama menyuntik emosi keibuan seorang guru. Blurb buku ini juga ringkas tetapi jelas dengan tema semangat yang ingin dipinjamkan kepada pembaca.
Di bahagian Perkongsian Bonda Nor, seperti biasa kisah-kisah Bonda Nor tidak pernah gagal menyuntik semangat buat para pembaca. Perkongsian Bonda Nor tentang bagaimana beliau bermula daripada zero dalam bidang pendidikan kanak-kanak dan perniagaan, bertatih, berjalan dan seterusnya berlari tanpa menoleh ke belakang lagi kecuali untuk sentiasa membetul dan mengukuhkan niat. Saya tahu Bonda bermula daripada kosong, tapi saya tak sangka berpunca daripada desakan kesempitan hidup. Emosi stres Bonda berdepan masalah Angah yang tidak mahu langsung belajar membaca juga buat saya sama-sama terasa buntu jika berada di tempat tersebut. Tabik spring dengan kesabaran Bonda.
Sifat sabar yang sama diketengahkan dalam hampir semua kisah cikgu-cikgu speaker Ekspres-i. Namun demikian, penuisan dalam buku ini tidak hanya mempamerkan yang muluk-muluk saja dalam diri cikgu-cikgu tersebut. Cikgu juga manusia biasa, tidak terlepas daripada emosi dan kesilapan. Saya tersengih membaca catatan Cikgu Sharifah Ishak, "rasa macam nak eeeee!" semasa menahan geram dengan tingkah seorang murid berbangsa Thai. Begitu juga gejolak rasa Cikgu Ainin Syakirah yang sudah tidak tahu untuk berbuat apa lagi dengan Christ, budak ulu sering saja dimarahinya kerana tidak pandai-pandai membaca. Namun, berkat kesabaran dan kegigihan mencari penyelesaian, para pendidik ini akhirnya mengecap kemanisan yang tidak terkata apabila murid-murid mereka pandai membaca dan menjadi pelajar yang cemerlang. Subhanallah.
Satu sisi lagi yang saya suka dalam buku STS ini ialah kepelbagaian latar belakang murid yang diceritakan kisahnya. Ada yang berbangsa asing, ada yang berasal daripada Sabah Sarawak, ada yang kelainan upaya, ada yang menghadapi masalah disiplin, ada yang terlalu manja, ada yang di kelas pemulihan dan sebagainya. Kepelbagaian ini membuka sasaran pembaca yang semakin luas.
Buku ini sangat sesuai dibaca oleh guru-guru tadika, prasekolah, guru pemulihan, guru PPKI dan juga ibu bapa yang ada anak-anak yang masih kecil dan akan belajar membaca. Boleh juga dibaca oleh masyarakat umum untuk mengambil ibrah daripada profesyen guru ini. Bukan mudah sebenarnya mengajar membaca, jika tidak ada ilmu..ke laut dalamlah jawabnya. Haha.
Kalau ada kenalan yang rasanya sesuai membaca atau memerlukan buku ni, bolehlah share dengan mereka ya. Perkara baik dan bermanfaat, eloklah kita panjang-panjangkan. Tujuan para penulis menulis kisah-kisah ini pun untuk memberi maklumat, motivasi dan perkongsian yang baik-baik untuk semua.
Macam mana nak dapatkan buku ni? Harganya berapa?
Harga senaskhah buku Sukar Tapi Sukses ini RM20, pos dalam semenanjung RM8 untuk 1-3 buah. Boleh terus wasap 012-3302067 (Mai) untuk pembelian dan pertanyaan. Boleh juga ke Instagram kami @bukumaia jika nak tengok-tengok buku lain, mungkin boleh diposkan sekali. Jimat kos pos:) Boleh juga ke Facebook Page BukuMaia atau FB peribadi Maizura Osman jika ingin berkawan-kawan sambil berurusniaga.