Sebagai Isteri dan Ibu, belajarlah untuk sentiasa rasional dan memaafkan

Saya bukan pakar motivasi kekeluargaan atau keibubapaan, sekadar mencoret pandangan daripada pengalaman diri dan insan di sekeliling.

Sebenarnya, menjadi seorang wanita memerlukan kita menjadi kuat. Bukan kuat fizikal tetapi kuat emosi dan rohani. Tak hairanlah dalam penyelidikan linguistik, makna kuat itu tidak lagi tertumpu pada kekuatan fizikal semata-mata sebaliknya korpus bahasa menunjukkan bahawa kuat itu juga melibatkan kekuatan dalaman dan perasaan. Ok, bukan nak cerita tentang bahasa, karang menyimpang pulak.

Sebenarnya saya terkesan dengan 'tragedi' yang berlaku pada sebuah keluarga dalam family saya. Sepasang suami isteri yang telah mendirikan rumahtangga atas dasar cinta lebih 15 tahun yang lalu. Seorang di utara, seorang di selatan, dipertemukan dan diijabkabulkan. Daripada kerja kecik-kecik, sampai dah jadi pegawai. Daripada kereta 3rd hand ke 4th hand sampai dah mampu tukar-tukar kereta sebab ahli keluarga dah bertambah. Ya, anak-anak yang dikurniakan seramai 7 orang. Daripada tinggal di kuarters, dah ada rumah dan tanah sendiri atas nama bersama. Dah ada perniagaan sendiri yang diusahakan bersama. Perancangannya tentulah untuk kekal bersama sehingga ke akhir hayat.

Namun, panas yang diharap sampai ke petang rupanya gerimis di tengah hari. Setiap rumah tangga tentu ada pasang surutnya, tentu ada ombak badai dan geloranya. Saya sebagai orang luar tentulah tak manis menyingkap masalah rumahtangga orang lain. Sekadar ingin mengambil teladan dan sempadan. Kalau dulu bagai isi dengan kuku, akhirnya dah tak sebulu. Yang suami kata begini, yang isteri mendakwa begitu. Ok, tak kisahlah tentang punca masalah, tetapi yang perlu difikirkan adalah penyelesaian masalah,kan? Berlarutan begitu lama dari bulan bawak ke tahun. Segala bentuk proses damai tak jalan. Hanya 1 jalan yang dilihat oleh si isteri, iaitu 'perceraian'. Berulang ke mahkamah, tetapi hanya itu yang dikehendaki oleh si isteri. Mungkin kita taktau keperitan yang dia alami, tetapi di situlah letaknya rasional. Yang jadi mangsa adalah anak-anak. Dengan anak sekecil 2 tahun lebih, si ibu tidak peduli tentang anak-anak, ditinggalkan bila-bila masa sahaja kerana kerapkali si ibu keluar. Diserahkan pada si ayah untuk mengelolakan anak seramai 7 orang itu. Semuanya kerana rasa tak puas hati, mungkin. Biar suami rasa beban dan tanggungjawab seorang ibu. Bukan senang nak kendalikan 7 orang anak yang kecil-kecil dan masih bersekolah tanpa seorang ibu. Sesiapa pun maklum tentang itu. Kesian anak kecil, sampaikan tidurnya yang patut bertemankan ibu, tetapi kini anak cuma nak berpeluk dengan abah saja. 

Akhirnya, mahkamah memutuskan status nusyuz untuk si isteri kerana tidak mahu taat. Suami pula terpaksa menceraikan isteri kerana berulang kali diminta. Anak-anak...si isteri tak mahu hak penjagaan kecuali anak lelaki yang sulung.  Suami bertemu jodoh yang lain tak lama kemudian. Ya, begitulah orang lelaki...memang dia taknak ceraikan isteri walaupun diminta-minta, tetapi sekali dah terputus hubungan mudah saja dia dapat pengganti (dengan izin Allah jua). Isteri baru jauh lebih muda, lebih cantik, malah lebih berpendidikan (itu luaran yang boleh dilihat dengan mata kasar). Hari pernikahan, bekas isteri datang menjenguk, apakah? Saya memang tak faham part ni.

Anak-anak dijaga oleh mak tiri muda kecuali abang yang sulung. Dua orang lagi kakak dijaga oleh nenek masa dalam proses 'perang' yang lama dulu sebab kasihan anak-anak tak terurus. Setelah beberapa bulan, nampaknya kehidupan keluarga baru itu berjalan dengan baik tanpa ada apa-apa masalah. Walaupun mak tiri muda tapi sayang pada anak-anak tirinya, anak yang kecil tu manjanya bukan main...berdukung saja. Agaknya rindukan belaian ibu. (saya respect mak tiri ni, sebab budak-budak tu boleh tahan nakalnya).hehehe.Nampak sangat saya tidak sesabar dia.

Selepas tu apa terjadi? Si ibu mula rasa sedih dan sunyi. Di FB, statusnya mengenangkan semula saat-saat percintaan, saat-saat bahagia jadi pengantin baru dan rindukan anak-anak. Si ibu tadi rasa dia kekosongan dan kehilangan segala-galanya...dan saya tahu sebenarnya anak-anak itulah kehilangan sebenarnya. Teman-teman semuanya memujuk, masa akan mengubat segalanya. Tapi hati dan jiwa seorang ibu, tak terubat dek masa merindukan anak-anak yang dikandung, dilahirkan dan dibesarkan. Mungkin si ibu pernah mengabaikan mereka, tetapi itu bukan tandanya dia tidak sayangkan anak-anaknya. Cuma api kemarahan dan dendam mengatasi segalanya. Si ibu mula menuntut hak penjagaan anak-anak yang dulu dia tolak sepenuhnya. Ingin dipindahkan sekolah ke negeri kelahirannya...tetapi pihak sekolah tak benarkan kerana hak penjagaan adalah pada si ayah. 

Lalu apa yang tinggal sekarang? Bila saya soroti kisah ini, nampaklah betapa pentingnya rasional dan saling memaafkan antara suami isteri. Kita wanita memang mudah dimainkan oleh emosi apatah lagi jika kita terlalu kecewa. Tetapi kita perlu berfikir panjang, perlu fikir hikmah di sebalik tiap kejadian, perlu juga fikir adakah suami kita teruk sangat sampai tak boleh dimaafkan. Mungkin ada serba sedikit kelemahannya...tetapi mungkin kita masih beruntung dalam sesetengah aspek. Jika perceraian yang kita mahukan, adakah membawa kebaikan kepada semua? Mungkin ada sesetengah orang berpendapat perceraian itu hak wanita, ya...jika tidak talak, khulu' dengan alasan tidak sefahaman boleh membawa kepada perpisahan, tetapi harus diingat bahawa perceraian itu adalah perkara yang halal tetapi paling dibenci oleh Allah.


Begitu juga Islam melarang seorang isteri yang minta diceraikan tanpa ada sebab-sebab yang syar'ie, sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud,
"Dari Sauban r.a bahawa Rasulullah saw bersabda : "Mana-mana perempuan yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada apa-apa keuzuran syar'ie, maka haram ke atasnya bau syurga" (Riwayat : Abu Daud)


Nota: Ya Allah, peliharalah kami daripada mehnah dan ujian yang tidak mampu kami hadapi dan jauhkanlah kami daripada azab seksa neraka-Mu. Bimbinglah kami dalam setiap perkataan, perbuatan dan keputusan kami. Semoga hidup dan mati kami hanya untukMu.

2 comments:

Hanis MY said...

sedihnya cerita ni..terima kasih atas perkongsian dan saling memperingati sesama wanita..

p/s:salam kenal, maaf baru sempat jenguk blog ni.. skrg study kat mana ye? course apa...

Min Aina Ila Aina said...

W'salam. Salam kenal juga...saya belajar di UKM, buat semantik pragmatik (Linguistik).

Cerita tu untuk kita semua ambil yang baik, elakkan yang buruk. Rumahtangga memang ada rajuk kalahnya...bergantung pada kita untuk mengawalnya, tentunya dengan doa yang tidak pernah putus.