Tak cakap bahasa Melayu, automatik jadi bukan Melayu

Betullah, Bahasa Jiwa Bangsa. Saya memang tengah hot berbincang topik ni dengan kawan. Tadi masa tengah belek-belek Jurnal Kemanusiaan, terjumpa satu artikel menarik daripada ahli bahasa yang saya cukup hormat, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Tajuk artikel tentulah tak sama macam tajuk entri saya ni.hehe. Tajuknya: Bahasa Melayu di Persimpangan: Antara Jati Diri dengan Rempuhan Globalisasi.

Nak tulis semua rasa macam tak mampu, saya keluarkan butiran yang penting dan menarik untuk dikongsi bersama. Saya buat rumusan je la.

Mengambil definisi konsep jati diri yang diutarakan oleh John Locke (1632-1704), penulis menekankan bahawa bahasa ialah esen jati diri sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, keturunan Portugis Melaka menuturkan bahasa Kristang (Kristian), maka mereka dianggap sebagai Portugis. Demikian juga Cina Baba di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, mereka dianggap Cina Baba kerana masih menuturkan bahasa Cina Baba. Sekarang, masyarakat Cina Baba semakin hilang oleh sebab mereka mengelompokkan diri dengan masyarakat Cina Baru (Pakir 1994). Persoalannya, apabila berlaku perubahan terhadap dasar bahasa dan tabiat berbahasa bangsa Melayu, apakah akan berlaku terhadap jati diri bangsa Melayu?

Kita mempersoalkan adakah dengan perubahan dasar bahasa dalam pendidikan maka jati diri bangsa Melayu akan berubah? Bagaimanakah kita dapat menjelaskan fenomena ini? Salah satu caranya adalah kita melihat apa-apa yang pernah ditulis oleh sarjana-sarjana lain yang berwibawa tentang hal ini. Kedua, kita merujuk kepada lakuan manusia Melayu yang memang dapat diperhatikan. Kemudian, kita cuba membuat analisis  terhadap lakuan tersebut dan menentukan sama ada lakuan tersebut sebenarnya berasaskan nilai yang mendasari jati diri Melayu atau tidak. Andaiannya, apabila lakuan manusia berubah, maka ada kemungkinan perubahan berlaku disebabkan oleh perubahan pada nilai mereka sendiri, dan seterusnya perubahan pada nilai pula mengubah jati dirinya.

Peristiwa yang berlaku pada bahasa Melayu ini tidak begitu sukar difahami. Peristiwa sebegini sudah lama berlaku di Singapura. Menurut Pakir (1994), akibat perubahan dasar bahasa pengantar pendidikan Singapura setelah negara tersebut menjadi republik, ibu bapa bebas memilih tempat untuk menghantar anak mereka belajar. Dalam hal ini mereka telah memilih sekolah aliran Inggeris. Akibatnya, sekolah Cina 'luput' dan Universiti Nanyang ditutup. Sekolah Tamil juga luput. Sekolah yang terakhir luput ialah sekolah Melayu, iaitu Sekolah Tun Seri Lanang. Apakah akibatnya?

Akibat ini dapat didengar dalam ucapan Perdana Menteri Singapura, Dr. Goh Chok Tong pada 27 Julai 1997, yang menyatakan bahawa "...selepas melaksanakan pendidikan dalam bahasa Inggeris selama dua puluh lima tahun, maka jelaslah bahawa kita sudah melahirkan satu generasi pemuda Cina yang hanya jasadnya Cina, tetapi budayanya bukan lagi Cina". Hasil kajian yang dilakukan oleh seorang pensyarah sosiologi terhadap generasi muda dengan mengemukakan soalan berkenaan kegemaran, idola, kebiasaan, dan pilihan dalam hiburan, makanan dan lain-lain, didapati perubahan memang sudah berlaku. Sembilan daripada sepuluh pemuda Cina menyesal dilahirkan sebagai Cina, mereka kepingin dilahirkan sebagai kaukasia (orang berkulit putih), lapan daripada sepuluh pemuda India dan satu daripada sepuluh pemuda Melayu.

Sebenarnya, fenomena yang kita hadapi ini bukanlah baru. Sejak 600 tahun dahulu, Ibnu Khaldun (1332-1406), sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah membuat pemerhatian tentang peristiwa ini. Beliau membuat catatan dalam Muqaddimah, Bab 2, Bahagian 22, bahawa bangsa yang pernah ditakluk oleh sebuah kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh sebab itu mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluki mereka. Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka ialah bangsa yang agung. Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah terjajah. Minda terjajah dan minda tertawan.

Hipotesis Sapir-Whorf dan Hipotesis Bahasa Ekspresif

Berapa ramaikah orang Melayu dalam kelas menengah dan elit yang tidak lagi menggunakan bahasa Melayu di rumah? Mereka menggunakan bahasa Inggeris, malah ada kecenderungan kelas menengah mengajar anak mereka supaya mula berbahasa Inggeris. Apakah implikasi lakuan ini terhadap jati diri orang Melayu? Hipotesis Spir-Whorf menyatakan bahawa bahasa yang digunakan menentukan cara kita melihat dan memahami realiti dunia. Oleh itu, bangsa yang menukar bahasa komunikasinya juga menukar persepsi berkenaan dirinya dan persekitarannya. Kita mungkin kurang menyedari akan hakiakt ini.

Mari kita lihat dialog dalam suasana berikut:

Tahlil untuk Arwah Opah

Ayah: Tonight we are doing teh prayers for Opah's soul
Anak: What prayer dad?
Ayah: When someone died, we can make doa for him to go to heaven. We do the tahlil.
Anal: Will opah in heaven?
(semasa tahlil malam itu peristiwa seterusnya berlangsung)
Haji: Apa nama emaknya?
Ayah: Maryam binti Ismail
Haji: Tak begitu. Apa nama emak, nenek Encik?
Ayah: Oh! Kenapa?
Haji: Orang mati lebih baik dibintikan kepada ibunya, bukan bapanya.
Ayah: Oh!!! Salasiah

Perkahwinan Anak Sulung

Gadis: I want a white wedding, I can wear white dress with flowing gown, then I walk down the aisle to the  bersanding...apa tu mum, bersanding dais?...is there such a thing, I need a bouquet and two flower girls.

Emak: Ok, no worry, we can have the aisle laid with carpet all the way from the pintu to the stage. That would do.

Gadis: What music to play, we cant have the "Ave Maria..." can we?

Emak: No..no..but we can have the "Selawat Nabi" by Raihan...its beautiful you know..I think I am going to cry...

Konsep-konsep dalam upacara perkahwinan dalam bahasa pengantin ini diambil daripada budaya Inggreis-Kristian. Ibunya pun 'going to cry' pada majlis perkahwinan seperti orang Inggeris.


********

Semalam saya bersembang dengan kawan, kami membuat kesimpulan mengapa bahasa Inggeris tidak boleh digunakan sebagai bahasa pengantar pendidikan di Malaysia, dan mengapa bahasa Melayu perlu dimartabatkan semula setelah dihina dan dipijak-pijak selama ini. Kerana masyarakat kita dan bangsa Melayu khususnya mudah lupa diri. Bila sudah berbahasa Inggeris, mulalah pandang jelek pada bahasa Melayu dan orang yang berbahasa Melayu. Dah tu, lupa daratan bila rasa diri tu orang Barat, semuanya nak ikut Barat, pemikiran macam orang Barat. Saya biasa sangat bertembung dengan orang Melayu, tetapi bila bersapa dengan saya, perkataan yang keluar "Hello!" Sampaikan pernah sekali tu saya tak dapat tangkap apa yang orang tu ucap sebab dalam kepala saya ingat dia akan bagi salam, dan dia terpaksa terangkan kat saya bila saya terpinga-pinga "I just saya hello, apa khabar". Oooo..agak-agak dia rasa apa? Dia rasa malu tak? Saya rasa dia tak rasa malu sebaliknya dia rasa saya ni yang kolot kot. Rupa-rupanya situasi ni dijelaskan melalui teori dan definisi dalam artikel Abdullah Hassan di atas.

Kami juga terfikir, mengapa Dr. M menyokong PPSMI. Adakah Dr. M taktau tentang kejayaan bangsa yang dididik dengan bahasanya sendiri macam Jepun, Korea? Mustahil Dr. M taktau kan? Tapi mengapa bahasa Inggeris masih diperjuangkan di bumi Melayu? Mungkin ada kena-mengena dengan "Melayu Mudah Lupa" dan saya nak tambah lagi satu "Melayu Suka Meniru". Mungkin kerana Dr. M mengenali bangsanya, maka Dr. M rasa jika Melayu masih dengan sikap seperti hari ini yang tidak pandai menyeimbangkan antara bahasa ibunda yang perlu didaulatkan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang perlu dikuasai, maka bangsa Melayu susah untuk jadi pandai dalam bahasa Melayu kerana bila berbahasa Melayu, orang Melayu jadi lemah dalam bahasa Inggeris. Bila berbahasa Inggeris pula, orang Melayu lupa bahasa Melayu. Bahasa Inggeris itu bahasa yang tidak dinafikan penting dan tak patut diketepikan, maka untuk berjaya kita harus kuasainya dan dalam masa yang sama menjunjung bahasa ibunda kita.

Nota: Nak kena mahirkan bahasa Inggeris yang sudah berkarat...vocabularies sudah duduk di bahagian belakang dalam otak. Itulah masalah bahasa, jika tak digunakan, dia akan bersembunyi sampaikan bila nak guna dah tak jumpa.



3 comments:

TopsyTurvyMum said...

anak2 melayu yang tinggal di overseas pun akan mengalami konflik kalau tak reti berbahasa melayu. Diorang(penduduk) takkan iktiraf mereka sebagai sebahgaian dari mereka sebab perbezaan warna kulit dan cara hidup. Nak jadi Melayu pun tak diiktiraf jugak sebab tak reti berbahasa melayu.

Ni la tengah pulun ajar diorang cakap melayu. Balik malaysia nanti susah.

Rizza said...

Ye setuju..

sebab tu le akak ni tak cakap "english" kat rumah.. tu bukan bahasa kita.. macam mana kita nak terangkan pada anak kita tanah air kita Malaysia kalau kita tak ajar dia Bahasa Melayu/malaysia...

kebykkan org dok obesi mengajar anak BI sahaja sehingga lupakan BM.. tu pasal bila hidup kat Msia mereka rasa 'lain'

apa2 pun martabatkan la bahasa Melayu.. jgn malu kerana Melayu kita ni Islam.. dengan pengangan kukuh Islam.. maruah Melayu Terpelihara.. insya'allah.

sebab tu le akak tak setuju org dok kata ajar anak OPOL (one parent one language).. ia mengundang pelbagai risiko berbanding kita ajar dia bebahasa Melayu dan mengajar bahasa inggering sebagai bahasa kedua ...bukan sebaliknya..ajar serentak pun lagi bagus berbading OPOL..

hanya pandangan akak je..hehhe

Min Aina Ila Aina said...

TTM: Takpe kak, udah ditakdirkan mereka membesar kat sana, tapi mereka tetap darah Melayu, cuma jati diri Melayu tu kena dikukuhkan dalam diri. Tak kira di mana kita,kita Melayu bangsa yang berjiwa besar.Jati diri mak diorang saya tak ragu.tengok je makanan apa yang dia rindu.hehe.

Kak Rizza:Betul kak,jangan Melayu dalam surat beranak je kan. Buang jauh2 pandangan serong sesetengah pihak yang kata kita kolot kerana memperjuangkan bahasa Melayu. waaa..ni yang seronok ada yang sependapat.