Persediaan Bersalin di Hospital Kerajaan

Minggu depan, in sha Allah saya akan ke hospital untuk menjalani prosedur ERPOC atau cuci rahim. Mudah-mudahan semua yang dirancang berjalan lancar, darah tak turun awal dan saya sihat serta tiada aral melintang. Jadi sekarang ni saya tengah buat persediaan untuk berpantang dan juga siap-siap apa yang patut untuk dibawa ke hospital. In sha Allah tak bermalam di hospital, cuma daycare sahaja. Jadi, tetiba teringat pengalaman bersalinkan Sofiy dulu. Anak pertama dan memang tak ada pengalaman warded di mana-mana hospital seumur hidup. Jadi, memandangkan saya pun tak pernah story pasal pengalaman bersalin yang dulu...nak tunggu bersalin lagi entah bila pulak rezekinya, maka saya rasa nak tulis sikit tentang persediaan bersalin di hospital kerajaan. Persediaan yang nampak remeh tapi sebenarnya perlu. Yang asas-asas mungkin dah ramai orang tulis. Saya tak pernah ke hospital swasta baik untuk checkup mahupun sebarang komplikasi atau sakit (diri sendiri atau anak) maka saya tak dapat nak komen tentang hospital swasta.

Apakah persediaan atau kelengkapan yang perlu disediakan jika anda berhasrat untuk bersalin di hospital keraajaan?

1- GL
 (sekiranya anda ada kemudahan ini. Saya student dan company suami pun tak cover sakit bersalin maka kami tak perlulah GL ni. Sediakan saja duit dari poket sendiri. Sebelum hari bersalin, boleh ke Unit Hasil hospital pilihan anda untuk membuat pertanyaan secara jelas)

2- No telefon hospital
 (Sila simpan no telefon hospital, no klinik kesihatan terdekat dan juga no telefon hospital berdekatan anda. Misalnya saya, saya simpan no hospital Serdang, hospital Kajang, Putrajaya, HUKM dan Kliknik Kesihatan Bandar Baru Bangi. Kenapa nak simpan banyak sangat? Untuk persediaan kiranya berlaku kecemasan atau sebarang masalah. Contohnya masa saya dah due pada 2009 dulu, alhamdulillah Allah gerakkan saya untuk simpan nombor-nombor hospital ni semua. Nak dijadikan cerita, hari sepatutnya saya admit tu wad bersalin hospital Serdang penuh sebab wad bersalin hospital Putrajaya terbakar dan patient Putrajaya terpaksa ditransfer ke Serdang. Dengan saya yang takde GL ni, tak mudah-mudah saya nak ke hospital swasta. Masa tu smartfon tak famous lagi, jadi tak mudah juga nak cari nombor telefon hospital-hospital ni. Saya pun call la mana hospital-hospital ni sebab doktor nak jawapan saya pilih hospital mana dan diorang akan buat surat rujukan dan hantar dengan ambulans. Disebabkan saya mengalami sedikit komplikasi waktu tu, jadi saya kena buat persediaan sekiranya saya harus jalani pembedahan. Lepas dah call-call semua, cadangnya nak ke HUKM sebab Kajang pun penuh, tapi sebab HUKM separa kerajaan maka kosnya pun lebih daripada hospital kerajaan. Lalu sudahnya saya ke HKL, setelah buat pilihan sama ada ke Seremban atau ke Sungai Buloh. Tapi rezeki saya masih bersalin di hospital Serdang..ada cerita yang panjang)

3- Pakaian
 (Anda boleh search checklist barangan bayi dan barangan ibu yang perlu dibawa ke hospital melalui google. Yang asas misalnya baju, kain sarung, stokin, baju panas, pakaian dalam, pad,  tuala, tudung dan begitulah juga dengan kelengkapan bayi.)

4- Telekung dan sejadah
 (Secara jujurnya saya katakan, solat masih diambil ringan di hospital sama ada di kalangan pesakit mahupun staff. Macam di hospital Serdang, ada surau disediakan tetapi surau tu boleh dikatakan kosong. Mungkin sebab jauh dan orang sakit rasa berat nak menapak ke sana. Jadual waktu di hospital juga kurang peka terhadap waktu solat. Misalnya masa saya nak diinduce dulu, saya baru je ambil wudhu' nak solat Subuh, masa tu baru masuk waktu Subuh saya dah dipanggil untuk prosedur masuk ubat. Saya kata pada nurse, saya nak solat dulu. Nurse kata doktor dah tunggu. Saya yang tak pernah tau pasal ubat induce ni ingat ok la saya boleh solat lepas masuk ubat. Rupanya lepas masuk ubat kena baring selama 1 jam. Habis dah pun waktu Subuh. Walaupun kita sakit tapi kita masih wajib solat. Solatlah dalam apa sahaja keadaan yang kita mampu. Kita mengandungkan anak yang suci dan mengharapkan pertolongan Allah dalam setiap kesakitan yang kita hadapi maka kita perlu dahulukan Dia. Nasihat saya, apabila di hospital sama ada kita di bahagian kecemasan, kita warded sebagai pesakit atau kita menunggu anak kecil di wad, sebaik saja masuk waktu solat kita teruslah solat. Itulah pentingnya bawa sejadah dan telekung supaya kita boleh solat di sisi katil kita sendiri. Tujuannya, supaya bila nurse atau doktor cari mereka nampak kita buat apa dan in sha Allah mereka tak bising dan boleh tunggu. Kalau jaga anak kecil tak mudah kita nak tinggalkan anak kita untuk ke surau. Budak sakit mesti nak berkepit dengan emaknya, kena pulak di hospital adalah tempat baru bagi dia. Jadi, jika kita solat di depan matanya, anak kita tau kita tak tinggalkan dia. Di bahagian kecemasan pun sama, beritahu nurse atau doktor yang ada di situ bahawa kita nak solat. Jadi nanti bila datang doktor yang nak memeriksa kita, ada yang akan sampaikan. Kalau kita tunggu, bimbang dah di hujung waktu baru doktor datang atau nurse nak buat CTG dan sebagainya dan akhirnya waktu solat pun berlalu.

5- Termos atau bekas air
Ini berdasarkan pengalaman saya di hospital Serdang dan HKL, wad kelas 2 dan 3. Bawaklah termos sendiri jika  anda jenis suka minum air panas. Kalau tak kisah panas ke tak, tapi nak air kosong boleh bawa bekas air yang tahan panas, jag ke botol air ke (bukan botol air mineral nanti nurse masukkan air panas terus mengecut). Di HKL wad kelas 3..tahun 2009 la, sekarang saya tak tau. Ada waktu yang telah ditetapkan, pesakit kena letak bekas air masing-masing kat satu tempat dan nanti nurse akan isi air panas. Sape takde bekas takdela bekalan air untuk dia. Di Serdang, kelas 2, termos atau jag tak cukup walaupun sepatutnya satu katil dapat satu. Jadi diorang main letak je la mana yang ada. Tapi kalau kita ada bekas sendiri diorang boleh isikan. Kalau suami rajin melawat dan bawak air mineral botol besar tiap-tiap kali datang ok la..tapi kalau tak? Kedahagaanlah si ibu, tambah pulak kalau dah mula menyusukan anak. Air panas penting tau selepas bersalin. Tengah-tengah malam kita lapar ke dahaga ke nak bancuh milo ke susu kan senang. Tak percaya tanyalah ibu-ibu yang menyusukan anak, taulah dahaganya macam mana. Jadi, bawa termos ke hospital bukanlah sebab kita nak bagi anak kita susu formula. Itu silap saya mula-mula dulu sebab ingat nak breastfeed jadi tak perlu bawak termos. Oh ye..dah bawak termos bawaklah mug atau cawan sekali. Nak ringan bawak yang plastik. Kalau tak nak bancuh air dalam apakan? Sudu? Pun bawaklah kalau nak bancuh air.

6- Tupperware atau bekas makanan
Hai..dah macam nak berkampung pulak kat hospitalkan? Tapi inilah kenyataannya. Saya sarankan bawaklah tupperware pakai buang yang transparent tu dalam sebijik dua. Di hospital waktu makannya fixed. Sekian-sekian jam dia hantar makanan, sekian-sekian jam dia datang kutip balik tray. Kalau time tu kita ada hal misalnya kena bawak baby jumpa doktor, atau sebelum bersalin kita kena buat ultrasound, atau masa makan tu la anak kita pun nak makan (melekap sampai sejam) macam mana? Kelaparanlah si ibu. Kalau makan malam yang pukul 6 tu lagi la kesian..sepanjang malam la lapar. Kat hospital takde supper :-) Jadi, kalau kita dah ada tupperware kita alihkanla masuk tupperware kita dulu sebelum masanya kita betul-betul sedia nak makan. Biarla sejuk asal tak kebuluran. Ni karang baru nak menyuap adik yang kutip tray tu dah datang jenuhla kita ni makan sumbat-sumbat.hehehehe. Lagi sadis, kita tak sempat usik lagi dia dah ambik. Melopong mak.

7- Toiletteries
Punyalah naifnya saya, dulu saya ingatkan hospital tu macam hotel ada sediakan sabun kecik tu. Bwahahaha. Padan muka, mujur ada sabun baby punya..maknya rasmi dulu. Lagi best baby tak mandi pun kat hospital. Tapi sungguhlah tak best mandi dengan sabun baby rasa macam tak mandi je. Mujur berus gigi ubat gigi tau pulak saya bawak. Jadi, kalau agak-agak nak kena admit tu..bawaklah toiletteris siap-siap. Atau standby je dalam kereta sabun, ubat gigi, berus gigi, sikat, towel, kain batik. Yang wajib-wajib je udah. Jadi tak payahlah suami kita nak kena turun naik turun naik sebab belikan itu ini dari kedai kat lobby hospital tu. Harga tak murah la kan, sebab diorang tau tu stok orang terdesak. Nak bawak hanger sekali pun apa salahnya. 

8- Makanan
Jangan berharap pada makanan hospital sahaja, sekiranya anda jenis kuat makan macam saya. Walaupun hospital bagi makan ikut time, tapi saya lapar tak ikut time. hahahaha. Jadi, saya dah bawak siap-siap roti, susu kotak 250ml, milo 3 in 1, kurma, kismis..(amboi bab makan semuanya ingat ye?). Dan juga saya sarankan kalau waris anda susah nak datang melawat atau datang melawat melenggang saja. Biasanya suami la, kalau mak tu biasanya ingat nak masak untuk anaknya. Maka bawaklah bekalan lauk yang tak perlu fridge dan tak basi. Lauk orang berpantang khususnya. Kenapa? Sebab doktor tak pernah menyarankan apa-apa pantang. Dengan itu pihak hospital takkan hantar lauk berpantang kepada anda. Lauk anda akan sama je dengan lauk orang lain, KECUALI..anda ada sakit..misalnya saya masa mengandung ada darah tinggi jadi makanan saya semua tawaq habiaq. Tak bergaram semuanya!  Saya cerdik sikit masa tu..tupun sebab pengalaman kena admit kat HKL dulu sebelum bersalin kat Serdang...dah tengok diorang hidang ayam lemak cili padi, nasi lemak dsb kat ibu baru bersalin. Ibu yang lapar mahu menolak ka? Udahla sakit dan meneran dah habis tenaga. Balun je la kan, takde pilihan. Jadi saya bawak siap-siap lauk simple yang saya bikin sendiri di rumah. Saya tak ingat dah namanya tapi saya ingat rupanya. Resepi ambik kat internet. Basicnya ikan bilis, halia, lada hitam, bawang putih. Mungkin tumis garing kot atau rebus sampai kering. Kalau tak confident masakan tu boleh tahan lama, goreng je ikan bilis tanpa minyak tu garing-garing buh dalam tupperware kedap udara, tumbuk lada hitam buh pulak dalam bekas lain, goreng bawang putih garing jugak buh dalam bekas lain...nanti nak makan baru gaul. Sedaaapp, nurse pun teringin.kihkihkih.

9- Ubat-ubatan
Walaunpun anda di hospital, jangan fikir anda tak perlu bawak ubat-ubatan sendiri. Hospital takde minyak yu yee, takde minyak afiat, takde losyen halia. Hehehehe. Jadi, bawaklah ubat-ubatan khusus untuk ibu dalam pantang tu bersama. Minyak panas, minyak telon, minyak angin, minyak urut..(yang basic aje la untuk elakkan badan masuk angin, untuk elakkan anak kembung, untuk elakkan anda sejuk). Tak perlu la bawak param pilis dan sebagainya tu. Kalau nak bawak tungku, bawak tungku moden yang boleh cas tu ok juga cuma alert la jangan leka. Kang kerana anda wad bersalin terbakar. Nauzubillah. Boleh juga bawak ubat luka untuk luka bersalin, vitamin mana yang perlu (macam saya dulu saya bawa pil dan tonik Salindah saya) dan juga panadol. Walaupun panadol boleh dapat kat hospital..tapi lambat. Nurse selalu sibuk. Oh ye..bawak jugak termometer untuk pantau suhu badan baby dan badan anda. Saya demam masa menjelang malam hari pertama selepas bersalin. Agaknya bengkak susu sebab anak kuning dan ada komplikasi sikit jadi dia malas bangun menyusu. Alaa..sehari je dok hospital, paling kuat 3 hari..balik rumah nanti la baru sapu segala minyak tu. No no no..elakkan beranggapan begitu. Komplikasi bersalin adalah segalanya mungkin. Sama ada anda yang ada masalah atau anak anda mungkin kena masuk NICU dan sebagainya, Bukan kita mintak, tapi kita bersedia. Kalau anak anda perlu habiskan antibiotik, maka paling kurang seminggu la anda kena berkampung di hospital. 

Rasanya cukup dulu untuk setakat ni. Kalau saya ingat saya akan tambah lagi. Coretan ini hanyalah daripada pengalaman saya semata-mata..dan semoga bermanfaat terutama buat bakl-bakal ibu di luar sana.

3 comments:

Rosilawati Wahid said...

Assalammualaikum,

Salam ukhwah.. drop by semasa mencari review tentang hospital serdang. Terima kasih atas input yang diberikan.

daripada : www.sheilawahid.com

bengkungmoden said...

salam perkenalan.Thanks utk perkongsian tips dgn pembaca...

Ummi Jual Vitamin said...

Wah.. Perkongsian yang sangat menarik. Tq admin.. Perkara Yang Perlu Di Jangka Ketika Masuk Bilik Bersalin. Penting untuk ibu yang mengandung anak sulung, supaya nanti taklah gelabah sangat. :)