Pengalaman Pertama Kali Berniaga

Pengalaman Pertama Kali Berniaga


Assalamualaikum, salam Jumaat buat semua...

Semoga kita sudah dan sedang merebut kebaikan dan keistimewaan Jumaat yang datang hanya seminggu sekali, selawat, sedekah, bacaan al-Kahfi, dan lain-lain.

Selepas Subuh tadi, sempat berbual seketika dengan rakan niaga di group Whatsapp. Macam-macam topik berkaitan pengalaman berniaga, ada yang share tips, ada yang beri cadangan, ada yang berkongsi pengalaman, ada yang menegur secara hikmah. Terpanggil nak bercerita tentang pengalaman pertama saya berniaga.



Saya dan Berniaga

Dulu, saya macam anti dengan berniaga. Kalau ada yang ajak dah tentu cepat-cepat saya tolak. Kalau ada yang bercerita pengalaman pulak, saya tetap kata "tak minat la berniaga ni", "memang keluarga kami bukan keluarga berniaga" dan penidakan yang seangkatan dengannyalah. Sebenarnya ni semua adalah persepsi, memang saya memandang kerja berniaga itu sebagai satu kerja yang susah, leceh, tak menarik dan berisiko tinggi.

Dalam susur galur keluarga saya, bukan tidak ada yang berniaga. Ada. Arwah atuk dan opah (ayah dan emak kepada emak saya) biasa berniaga kedai runcit, berniaga kuih-muih dan juga buka gerai makanan. Emak saya pun pernah berniaga khidmatnya dengan menyulam benang emas, mengajar mengaji Al-Qur'an, berniaga kuih-muih, berniaga kerepek, berniaga pakaian sekolah dan mengambil upah menjahit. Mungkin, keluarga sebelah ayah memang tidak ada yang berniaga, semuanya berasal dengan bertani. Ayah saya sendiri seorang penoreh getah..ya..sebenarnya getah tu dijual juga..tapi tak usahlah kita golongkan sebagai peniaga. 

Kenapa Saya Tak Minat Berniaga (Dulu)

Saya melihat contoh orang sekeliling, dan juga persepsi yang ditanam oleh orang tua. Emak saya walaupun punya pelbagai bakat (pandai menjahit, masakannya sedap, punya ilmu mengaji Al-Qur'an) namun tidak pernah melihat perniagaan dalam konteks jangka masa panjang. Apa yang emak saya nampak ialah berniaga untuk menyara hidup seharian, itu sahaja. Jadi, apabila terjadi sesuatu yang tidak enak emak mudah patah semangat dan berhenti. Misalnya ada satu hari kuih banyak tak habis dijual, harga bahan mentah naik, pelanggan komplen harga, permintaan terlalu banyak dan emak tidak cukup tenaga. Semua itu pernah terjadi, dan kami tidak memandangnya sebagai satu yang positif dan perlu ditangani untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut.

Perniagaan melibatkan perkhidmatan pulak, emak lakukan hanya untuk suka-suka sahaja, hanya kerana minat. Emak menyulam benang emas sampai Sultan Perak sendiri tempah daripada emak, tapi emak setakat letak hasil sulamannya di sebuah kedai kain tauke Cina. Setakat itu sahaja. Emak pernah ajar budak-budak dan orang dewasa mengaji sampai penuh anjung rumah...ada dua sesi lagi dalam sehari. Ramai anak murid emak, juga sekadar itu sahaja. Saya tidak sekali-kali menyalahkan emak, emak buat begitu kerana emak sudah cukup bahagia hidup seadanya. Tinggal di kampung yang aman damai, cukup makan pakai, apa lagi nak dicari? Saya cuma tulis begini untuk menggambarkan bagaimana persepsi tentang berniaga itu terbina dalam diri saya.

Pengalaman Pertama Berniaga

Haaa..inilah juga antara faktor terbesar mengapa saya tidak minat berniaga. Seingat saya, masa tu umur saya 10 tahun. Abang saudara saya kerja di KL, dan bila cuti dia bawa balik sos rojak (rojak buah) dalam 2-3 dozen untuk dijual. Harganya saya dah lupa, tapi rasanya saya ingat, memang sedap. Saya pun mulalah menjual. Round satu kampung dari rumah ke rumah dan sos rojak diletak dalam bakul basikal. Mula-mula kampung saya saja..laku..habis. Seronoknya. Kemudian, jauh siikit round sampai kampung sebelah-sebelah. Tak kira masa, rajin sungguh saya masa tu. Panas-panas pun tak peduli. Habis juga...yey yey! Pelanggan pun pakat puji sedap. 

Tak lama kemudian, abang saudara saya bercuti lagi, dan bawa sos rojak tu lagi. Saya pun excited...round lagi. Tapi...tak laku keras macam mula-mula dulu. Saya dah mula frust. Paling saya terasa hati dan agak malu bila ada seorang pelanggan (saya dah lupa siapa, tapi orang tua jugalah) dia kata "Yang hari tu tak habis lagi dik, orang bukan mencicah buah hari-hari. Datanglah selang lama sikit lepas 5-6 bulan ke". Wah..sentap! Saya sentap dan terus kayuh basikal balik rumah. Takmau jual dah! Full stop! Emak pun ok saja..tak mau sudah, kata emak.hehe.Itulah pengalaman pertama saya berniaga. Saya jadi serik. Tak ada siapa pula yang nak pujuk atau betulkan persepsi saya, atau bagi semangat pada saya. 

Sos Rojak VS Rempeyek , Kuih Siput

Kali kedua saya berniaga, masa saya di matriks. Itupun emak saya yang suruh, sebab masa tu emak buat jual rempeyek dan kuih siput. Emak buat memang sedap, pelanggan order ribu-ribu keping. Jadi emak pun minta saya jual juga di kolej. Beratnya rasa hati. Malas dan malu sungguh nak round bilik ke bilik. Bersandarkan pengalaman jual sos rojak, saya andaikan orang tak suka bila saya ketuk pintu bilik mereka. Kalau saya dah round satu malam, minggu depan pulak baru saya round lagi. Itupun sebab takut emak bising jualan tak laku. Masa tu ada seorang kawan yang emak ayahnya peniaga restoran, Dialah yang terlebih rajin bawak jualan saya. Rupa-rupanya ramai yang tunggu saya, sebab sedap. Boleh tak masa tu saya tak terfikir, sos rojak dan rempeyek / kuih siput tu tak sama. Sos rojak memang lanbat habis tapi kuih siput sekali ngap je dah habis. Mai., Mai..Betullah kata Dr. Azizan Osman, berniaga perlu ada ilmu. 

Latih Anak Suka Berniaga

Kini, setelah saya terjebak secara serius dalam perniagaan...saya sudah buang persepsi negatig tentang berniaga. Malah saya respect peniaga-peniaga khasnya peniaga Melayu yang berjaya. Walaupun ada banyak sikap dan tindakan yang perlu ada pada seorang peniaga, tapi tiga sikap ini saya nampak paling perlu. ILMU, CEKAL, SABAR. Perniagaan tidak berkembang dalam masa sehari, seminggu, sebulan. Tempuh apa sahaja yang datang dengan hati terbuka dan jangan mengalah. Kini saya seronok tengok anak saya yang sudah terpengaruh untuk berniaga. Jika dia main sorang-sorang, dia suka buat dialog dia menjual barang. Kadang-kadang saya main sekali, saya cuba tawar-menawar dan test dia layan pelanggan. Not bad!


Saya, Puan Mai, pengedar sah Shaklee dan juga pengedar sah Buku Mudahnya Menjemput Rezeki. Anda boleh dapatkan semua produk Shaklee melalui saya dan juga Buku MMR versi penuh dan juga versi mini.

SMS/ WA/ TELEGRAM: 012-3302067

2 comments:

blogger lelaki said...

aku sendiri akui..bukan calang-calang orang yang mampu bertahan dalam gelombang dunia perniagaan

Unknown said...

Sekarang ni pun saya jual kuih siput dan tempeyek yang mak saya buat ditempat kerja. Boleh kongsi ilmu bagaimana nak kembangkan bisnes kecil ini?