Tips Tegur Anak Remaja

 PILIH MEDAN TEMPUR


Bismillah


 


Dalam mendepani anak remaja, ibu ayah sering gelisah. Ketika anak menginjak sekitar umur 12-19 tahun, biasanya kita mula merasai ketegangan hubungan. Setiap hari, ada saja yang tidak sedap di mata atau tidak senang di hati. Patutkah semua rasa itu disampaikan pada anak remaja kita?


Sering luahan rasa ibuayah, teguran kerana sayang itu, berakhir dengan bebelan atau marah-marah. Hubungan dengan anak terusik. Jika terus menerus berulang, anak makin menjauh. Jasadnya mungkin masih bersama kita, tapi tidak jiwanya. 


Penting untuk ibuayah memilih medan tempur yang betul. Pilih dan pilih. Menegur hanya pada ruang yang sesuai dan penting sahaja. Jika sepuluh perkara yang tidak kita senangi dalam satu masa, pejamkan mata pada sembilannya. Urus yang satu yang paling utama. Apakah yang utama itu? Timbangannya ialah yang utama di sisi Allah.


Contohnya jika suatu hari anak bangun lewat untuk solat, meninggalkan bilik tidur yang bersepah, malah lupa untuk menyiapkan tugasan sekolah untuk hari itu. Marah tentu mudah bertandang di hati ibuayah. Fikir. Fikir dan pilih. Apa yang utama? Kita mungkin memilih untk berpesan tentang solat yang lewat. Tangguhkan kesilapan yang lain itu pada ketika yang lebih sesuai. 


Dengan fokus hanya pada satu perkara dalam satu masa, kita lebih mampu memilih bahasa yang bijaksana. Menegur tanpa mencela. Bertegas tanpa berkasar. Pesanan yang ringkas dan jelas. 


Jangan pula kita lupa bahawa teguran itu ada kembarnya- iaitulah penghargaan pada potensi anak di masa depan. 'Talk about next time'. Sebutkan keyakinan kita pada kebaikan anak yang banyak tersimpan. "Ibu tahu Along mampu solat di awal waktu. Yang penting along mahu. Ibu boleh bantu. Apa yang ibu boleh tolong supaya along mudah bangun?" Dialog positif begini akan mengeratkan hubungan kita dengan anak remaja. 


Mungkin saja kita perlu dua minggu untuk melihat hasilnya. Mungkin juga kita dan anak diuji Allah lebih lama. Bila berjaya? Itu urusan Tuhan. Teguran, nasihat dan pesanan berterusan adalah ruang pahala buat ibuayah. Ruang mengerat kasih sayang. Asal saja dilakukan dengan tenang. 


Untuk tenang, jangan sentiasa dalam 'mood' perang. Fikir dan pilih satu-satu medan tempur dengan bijaksana. Tempur dan menang. Tegur dan menangi hati anak kita. Sentiasalah di sana, mesejnya cinta :)


Kredit: Puan Badariah Ismail

#didikAnakremaja

Catatan 191215

.

0 comments: