Ayah dan Umi kena lecture dengan Imam Muda Sofiy

Kadangkala bila kita mengajar anak, tegur dan marahkan anak atas sesuatu kesilapan, kita alpa bahawa sebenarnya kita juga banyak tahu tapi tak buat. Bak kata orang, cakap tak serupa bikin. Kejadian semalam buat saya dah suami terhantuk dan terkedu, betapa jiwa anak kecil terlalu tulus, mulus dan suci.

Rabu malam, saya dan Sofiy layan TV2 tengok movie orang putih, tajuknya saya tak perasan, tapi cerita tentang sekumpulan pekerja lombong minyak yang terlibat dengan nahas kapal terbang dan tersadai di Gurun Gobi. Sofiy minat sangat tengok cerita tu sebab ada 'kapal kebang'. Dalam cerita tu, pilot dia merokok. Kemudian Sofiy pun tegur; "Umi, dia rokokkan, macam ayah Sofiykan? Sama kan?" Lalu saya ni pun dengan niat nak mendidik dia bahawa merokok tu adalah tidak baik, tidak dibenarkan, membawa mudharat dan keburukan, maka saya pun cakapla. "Merokok ni tak elok tau, nanti boleh jadi sakit, batuk, bahayakan kesihatan. Ayah Sofiy pun patutnya tak boleh merokok. Sofiy nanti jangan merokok ye," Ayat tu diiringi cemikan muka menunjukkan saya jijik dengan rokok. Dia diam saja.

Petang semalam (khamis), lepas balik dari rumah pengasuh, Sofiy macam biasalah rutin dia tengok Upin Ipin walaupun dah berpuluh-puluh kali ulang episod yang sama. Saya pun heran dengan TV9 ni, kan ke cerita Upin Ipin ni ada banyak lagi episod-episod lain, asyik ulang yang sama je. Sampai Sofiy dah hafal dah dialog2 dalam tu. Jadi, semalam ulang lagi episod 'Rindu Opah', ala..yang Upin Ipin rindu opah sebab opah pergi umrah masa bulan puasa dan terus beraya kat Mekah tu. Dalam episod tu, ada la babak Upin Ipin buka puasa di masjid. Ipin kan suka sangat ayam goreng, tapi dia kena solat dulu selepas buka puasa dengan kurma dan air. Lepas solat baru la makan nasi dan ayam goreng, buah tembikai semua sampaila kekenyangan dan terbelahak (sendawa) besar. Lalu Ipin pun kata "Alhamdulillah". Maka kami pun cakap la kat Sofiy. " Ha tengok Upin Ipin tu cakap apa bila dah kenyang? Alhamdulillah" Cewah mengajar anak moral yang baik la tu.

Tak lama lepas cerita tu habis, ayah Sofiy pun selesai makan. Kami makan malam sebelah petang. Saya pulak puasa. Apalagi ayah dia pun pekenalah candu. Duduk tak jauh dengan Sofiy. Saya pulak sound Sofiy suruh dok jauh-jauh sebab ayah merokok. Lalu...dengan penuh semangatnya si anak membebel pada sang ayah. "Ape la ayah ni rokok, nanti batuk tau. Rokok tak elok kan, yang macam dalam vivi (tv) tu kan umi? dan bla bla bla tak dengar dah biji buahnya sebab umi tergelak tengok ayah terpisat-pisat. Ayah pun serba-salah kenalah bangun. " Ooo..lelebih ye Sofiy kitabkan ayah" kata ayahnya sambil beredar ke balkoni, silalah merokok jauh-jauh kalau taknak disekolahkan dek anak lagi ye. heheheheh.

Sementara menunggu waktu Maghrib, umi tanya Sofiy kot dia nak makan nasi. Sebab nanti umi buka puasa takde la dia nak mengendeng. Dia dengan konfidennya cakap taknak, sebab ada cerita robot apa ntah kat tv masa tu. Terlambat tukar ke saluran TV1 National Geographic, dia dah nampak cerita robot tu maka layankan ajela. Magrib pun masuk, dia pun tutup TV, bagus anak umi. Dia dah boring, mulalah mengecek nasi umi. Saya memang dah ajar dia, kalau umi ayah buka puasa dia takleh kacau. Jadi dia pun faham, dok main kat tepi. Selesai je umi makan, dia mengendeng lagi. Umi pun senduk nasi bahagian dia dan suapkan. Habis. Pastu saya tanya dia, "Dah kenyang cakap apa?" Dia jawab, "alhamdulillah" (dengan pelat dia la). Tiba-tiba je dia sambung "Solat la dulu, bukan makan dulu. Macam Upin Ipin tu". Wah, sebijik kena batang hidung umi tau, Sofiy ni. Hahahaha. Agaknya bila saya timbulkan soal alhamdulillah tu, automatik dia teringat kisah Ipin tak boleh makan ayam goreng dulu, kena solat dulu lepas buka puasa. Terusla sound umi dia yang buka puasa dulu bukan solat dulu.

Haa tengok? Sapa yang kena akhirnya? Ayah dan umi la terkena sebab pandai mengajar je tapi tak buat. Ayah tu dah tau merokok tu fatwanya apa tapi payah sangat nak berenti. Umi pulak, perut dulu yang dikisahkan...hihi. Semoga masing-masing mengambil teladan. Tu belum lagi anak perambat pegi solat bila dengar azan, suruh baca Qur'an dan doa lepas solat dan macam-macam lagi.




0 comments: