Buat Isteri-isteri Yang Berkorban Menanggung Belanja Rumahtangga


Artikel ini adalah tulisan Puan Fatimah Saidin, seorang penulis, yang juga menulis novel Korban Kasih 2. Kata-kata dalam artikel ini ditujukan buat isteri-isteri yang berkorban buat suami-suami mereka. Yang sedang bertolak-ansur dalam hal nafkah dan segala hal dalam rumahtangga. Ya, ia khas untuk anda, Pujuklah Hati. Bagi yang tidak berada dalam situasi yang dimaksudkan, mungkin kefahaman dan penghayatan anda tidak sampai ke tahap yang sebenar...hanya yang berada di tempat tersebut benar-benar faham erti kata-kata ini.

Seorang isteri mengadu kepada saya tentang rumahtangganya. Menurutnya, dialah yang mengeluarkan belanja makan minum keluarganya sehari-hari. Duit gaji suaminya hanya cukup untuk membiayai kereta, rumah yang mereka duduki sekarang dan rumah yang baharu dibeli. Semua harta itu adalah di atas nama suaminya, selebihnya adalah untuk orang tua suaminya di kampung. Seolah-olah untuk dirinya, tiada apa-apa, melainkan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Kesempitan hidupnya tidak terperi, sehingga ada kalanya terpaksa mengambil duit tabung anak-anak untuk membeli makanan.
Sungguh kasihan. Tetapi ini bukanlah cerita yang pertama saya dengari seperti ini. Kes begini sudah menjadi lumrah dalam institusi keluarga Islam di Malaysia.
Sangat sukar untuk memberi buah fikiran dan cadangan kerana tibulasi yang menimpa rumah tangga orang lain, walaupun ‘outcome’nya kelihatan sama, puncanya seringkali berbeza. Plot-plotnya, watak-wataknya dan pokok penceritaannya seringkali sangat subjektif dan tidak semudahnya dibandingkan dengan perjalanan cerita dalam rumahtangga kita.
Kita boleh memberi pandangan, tetapi samada ia praktikal untuk diamalkan, tidak dapat dipastikan.
Dalam Islam, dari segi hukum, nafkah adalah tanggungjawab suami. Isteri yang tidak mendapat nafkah, boleh menuntut haknya, malah boleh melepaskan diri dari ikatan itu jika masalah itu berpanjangan.
Itu adalah hukum. Tetapi ada satu rahsia lain yang lebih bermakna si situ.
Sebagai contoh, kita tidak wajib periksa sesuatu makanan yang bercop logo halal itu sama ada ia benar2 halal ataupun tidak. Cukup sekadar meletakkan kepercayaan kepada cop logo halal JAKIM di luar bungkusan. Namun begitu, orang yang warak sangat berhati-hati dan tidak sembarangan mengambil sesuatu makanan kecuali jika mereka benar-benar yakin. Dua-dua pihak pun betul, tetapi yang kedua lebih baik.
Berbalik kepada perbincangan asal tadi. Hukum pemberian nafkah itu terletak pada suami, tetapi jika tidak berlaku begitu, anda ada dua pilihan. Memilih untuk menuntut hak, atau REDHA. Dua-dua pilihan pun betul. Tetapi yang kedua lebih baik.
Kefahaman tentang natijah di sebalik ujian yang Allah SWT berikan kepada seseorang manusia tidak akan diperolehi melainkan melalui jalan sabar dan redha. Ia bukan mudah untuk dilakukan. Setiap manusia memerlukan insan lain untuk memperingatkan tatkala ia sakit ditimpa ujian, hatta orang agama sekalipun.
Si isteri mungkin tidak mendapat nafkah dari suaminya, tetapi Allah SWT membuka jalan rezeki dari pelbagai sumber lain yang tidak disangka-sangka, dan sememangnya itulah yang berlaku. Telah banyak cerita-cerita rezeki terpijak saya dengari dari isteri yang berbelanja untuk keluarga, termasuklah pengalaman saya sendiri. Yakinlah, rezeki Allah SWT sememangnya luas. Isteri juga perlu meluaskan fahamannya tentang rezeki. Sihat juga rezeki, anak-anak juga rezeki, suami yang rajin menolong didapur juga rezeki. Mertua yang baik juga rezeki.
Kita tidak tahu walau sejengkalpun, apakah untung nasib kita pada hari esok. Untuk memahami takdir bukanlah sekadar sehari dua. Mungkin natijah itu hanya jelas setelah kita berusia lanjut. Sebab itulah kita perlu letakkan YAKIN terlebih dahulu, kerana penilaian ke atas ujian dalam kehidupan sangat memakan masa untuk difahami.
Pertama, yakinlah dalam setiap ujian pasti ada hikmah disebaliknya.
Keduanya, ujian tanda kasih Allah SWT terhadap hambaNya.
Ketiga, ujian adalah pintu kepada rezeki yang lebih baik.
Sebagai mengubat hati, isteri juga perlu belajar mencari kebaikan lain dalam diri suaminya. Jika kelemahannya dari sudut pemberian nafkah, pasti sekali ada terselit kebaikan-kebaikan lain dalam dirinya. Jangan membandingkan untung nasib kita dengan pasangan lain. Walaupun kita nampak pasangan lain lebih hebat, yakinlah, mereka juga ada ujian-ujian yang perlu mereka hadapi. Cuma masalah itu tidak tampak jelas di mata kita kerana mereka tidak ceritakan pada kita. Boleh jadi masalah yang mereka hadapi lebih teruk dari kita.
Sememangnya isteri mempunyai alasan yang cukup kuat untuk meletakkan kesalahan ini atas suami. Namun seringkali, menang dalam penghujahan juga tidak mampu memperbaiki situasi yang telah berlaku, malah lebih menerukkan lagi keadaan sedia ada. Bukan mudah mengubah orang lain, yang lebih mudah untuk diubah adalah diri kita sendiri. Kitalah yang perlu beradaptasi.
Dalam pada itu, jangan berputus asa menegur dan memanjatkan doa. Jika tiada jalan teguran melalui kita, carilah orang yang dipercayai untuk menyampaikannya dan sampaikanlah dengan cara yang baik dan berhikmah. Sebaiknya biarkan teguran itu kelihatan bersahaja, tidak seperti teguran dan lebih kepada berkongsi pendapat. Seringkali lelaki lebih suka mendapat buah fikiran dari temannya berbanding isterinya sendiri.
Syukurlah dengan sekadar yang ada, nescaya sedikit itu sudah cukup untuk membahagiakan dirimu. Yang pasti, setiap kebaikan yang kita lakukan, kebaikan jualah yang akan kembali kepada kita. Jika kita ingin Allah menyertai kita dalam setiap usaha kita, kita perlu amalkan bersifat SABAR. Yakinlah, janji Allah SWT ada di situ.
Mudah-mudahan saya sendiri dapat lebih memahami dan mengamalkan perkara ini setelah menyampaikannya kepada orang lain.
- Puan Fatimah Saidin

Ya, bukan mudah mendapatkan SABAR, YAKIN dan REDHA apatah lagi IKHLAS. Namun jika kita telah dipilih sebagai calon untuk menerimanya, kan rugi jika kita tidak berjuang.


Jika anda perlukan buku untuk jadi pendamping, ada dua buah buku yang boleh saya cadangkan, iaitu yang berjudul Pujuklah Hati dan Suami Bukan Malaikat Isteri Bukan Bidadari atau dapatkan terus buku Kombo Perkahwinan.

Saya doakan semua pembaca saya yang telah dan akan mendirikan rumahtangga, diberikan kekuatan dalam melayari rumah tangga yang penuh badai dan gelora. Namun jom kita ingat, adakah badai dan gelora tidak pernah reda?
Oh ya..jika anda berhajat mendapatkan buku-buku di atas ini, bolehlah hubungi saya melalui medium di bawah ya. Jangan segan-segan tau.

Puan Mai 
MAIA Natural Resources
(00225914-T)
Pengedar Sah MMR, ATM dan Agen Sahabat atTaqwa
SMS / WA / TELEGRAM: 012 3302067 (digalakkan untuk respons segera)
EMEL: minaina_ilaaina@yahoo.com
FB FANPAGE: Min-Aina-Ila-Aina
Instagram: @bukumaia


#suamiisteri
#rumahtangga
#nafkahisteri
#pujuklahhati
#comboperkahwinan
#bukurumahtangga
#isteribukanbidadari
#suamibukanmalaikat

2 comments:

Raihanah Ahmad said...

thanks for info

Jelita dan Awet Muda said...

Pernah mengalami situasi ni dulu...sebagaii steri memang redha la..insyaAllah Allah gantikan dengan yang lebih baik