Assalamualaikum, selamat pagi Isnin.
Semoga cuti panjang memberikan energi baru untuk kita, dan juga anak-anak kita yang akan kembali semula ke sekolah.
Hari ni dalam masa yang terhad pagi ni sebelum Sofiy bangun, saya nak kongsi sikit tentang menyimpan duit.
Rata-rata ramai antara kita tahu faedah dan kepentingan menyimpan, terutamanya menyimpang wang. Tapi berapa ramaikah antara kita yang mampu menyimpan dengan disiplin dan konsisten, tambahan pulak di tahun 2014 yang cukup gelap dari sudut ekonomi ini.
Dalam seminggu ni, saya terjebak dengan blog Encik Mohd Zulkifli, seseorang yang ada disebut dalam Buku Mini MMR sebagai seorang yang bebas hutang pada tahun 2007 lagi! Dalam Buku Mini MMR juga ada diringkaskan tips-tips bagaimana beliau melangsaikan hutang-hutang mereka suami isteri. Alhamdulillah, daripada feedback yang saya baca dalam komen-komen di blog beliau, dah ramai yang berjaya mengikut jejak beliau. Apa yang beliau tekankan ialah, menyimpan wang untuk melangsaikan hutang. Bab menyimpan inilah sebenarnya memerlukan latihan, sebagaimana juga menderma. Saya ni tak layaklah nak bercakap tentang bebas daripada hutang, tapi meh kita kongsi sikit apa yang sedang saya lakukan sekarang; iaitu berlatih menyimpang duit. Mana tahu anda mendapat manfaat daripadanya?
Idea ini bukan idea saya, saya hanya mengambil idea seorang kawan lama (kawan sekolah menengah) yang memulakan projek ini, yang dia namakan Projek Tabung Hijau. Jadi, hakcipta atau originalitinya ialah Tabung Hijau. Kawan saya Asiah, dah berjaya menunjukkan hasil yang beliau dapat, jadi kami kawan-kawan ni pun cuba lah pulak dan alhamdulillah memang menunjukkan hasil. Macam mana caranya? Mudah saja..apa yang penting ialah disiplin, konsisten dan jujur.
Projek ini, terpulang pada kita juga sebenarnya nak buat untuk apa. Maksudnya ialah tujuan kita menyimpan. Ada yang memang menyimpan untuk tabungan jangka masa panjang. Ada juga yang menyimpan untuk membeli sesuatu yang dah lama dok kat wishlist tapi tak pernah dapat beli. Saya pulak? Saya menyimpan untuk 'anugerah' yang akan lahir ke dunia ini nanti. Sebenarnya memang diperuntukkan sebahagian wang untuk membeli kelengkapan bayi, tapi Tabung Hijau ni saya khaskan untuk kegunaan selepas melahirkan, in sha Allah.
Caranya, setiap kali wang kertas RM5 lalu di tangan atau wallet anda, anda mesti terus ambil dan simpan dalam Tabung Hijau. Peraturannya ialah jangan sekali-kali belanjakan wang kertas RM5. Wang kertas RM5 hanya untuk disimpan. Sebab tulah RM5 adalah angka yang paling sesuai, sebab kita tak terasa sangat kekurangannya. Kalau simpan RM1 (Tabung Biru) pun boleh atau RM10 (Tabung Merah) pun boleh, cuma risau nanti kita yang tak disiplin sebab jumlah agak besar. Betul tak? Ada orang yang buat projek ni secara bulanan, mungkin lepas tu terus masuk bank simpanan. Ada juga yang buat secara period macam saya. Saya bagi tempoh sampai baby lahir nanti. Satu pesanan Encik Mohd Zulkifli, untuk menyimpan, jangan tunggu hingga ada lebihan wang tapi simpan dulu dan selebihnya barulah guna. Dalam projek Tabung Hijau, kita menyimpan sambil-sambil...jadi tidaklah asyik teringat-ingat saja duit yang disimpan. Nasihat saya pulak, jangan simpan dalam wallet yang sama kita pakai hari-hari. Simpanlah di tempat yang jarang kita nampak:-)
Cubalah, anda pasti suka bila dapat hasilnya nanti. Tak percaya, cubalah!
0 comments:
Post a Comment