Demam Ketika Mengandung 37 Minggu



Alhamdulillah, kandungan saya dah pun berusia 37 minggu pada hari Ahad yang lalu. Syukur, mengandung kali ni saya sihat-sihat sahaja selepas fasa alahan yang agak teruk sehingga 5 bulan. Takde tekanan darah tinggi, takde anemia, takde asthma, kencing kotor, batuk selesema pun tak sempat singgah...tapi nak masuk 37 minggu ni Allah uji sikit. 

Saya mula sakit tekak selepas berjangkit dengan anak-anak. Sakit tekak je, belum batuk lagi tapi badan sakit sangat-sangat. Suhu badan tak tinggi pun, tak sampai paras demam tapi sakit badan ni Allah saja yang tahu....sakit macam demam 39 darjah. Sampai saya terpaksa ambil Paracetamol juga untuk menahan rasa sakit tu, kalau tak memang mengerekot sakit tak boleh buat apa-apa pun. 

Dua hari macam tu, hari Sabtu saya mula demam yang betul-betul suhu demam. 37.8 darjah celsius. Saya dah cuak..huhu. Bukanlah sebab tak biasa demam, tapi demam di akhir-akhir kehamilan ni memang cuaklah. Bila kita dah boleh bersalin bila-bila masa sahaja, dan masa tu la kita demam dan sangat-sangat tak larat. Andai ditakdirkan saya nak bersalin masa tu...macam mana nak push? Larat ke? Huhu.

Saya mesej kawan sekolah saya, dia doktor di klinik kesihatan dan biasa rawat ibu mengandung ni. Pesanan dia, pantau suhu badan sebaik mungkin. 38 C dah consider suhu yang tinggi dan sangat tak bagus untuk ibu mengandung. Boleh effect baby. Ok, walaupun saya sebolehnya tak nak makan PCM (Paracetamol), tapi itulah je lah cara nak turunkan suhu badan dan dalam masa sama boleh bantu kita relax dan kurang rasa sakit. Saya juga bertanya beberapa orang doktor, Paracetamol selamat diambil oleh ibu mengandung dengan dos 1g (dua biji paracetamol 500mg) maksimum 12 biji dalam 24 jam, Tapi biasanya kalau kita demam sepanjang hari pun, kita hanya perlukan 8 biji sahaja...iaitu 2 biji setiap kali makan, 4 kali sehari (sela 6 jam). Jadi usahlah risau ye. Kawan saya yang pharmacist pun pernah cakap, PCM lah ubat yang paling selamat. 



Kalau anda hadapi demam masa mengandung ni, segeralah jumpa doktor ya. Sebab demam ni bukan penyakit, tapi simptom yang menunjukkan badan kita sedang melawan sesuatu jangkitan / kuman. Jadi kita kena jumpa doktor untuk tahu daripada mana sumber jangkitan tu. Kadang-kadang demam boleh sembuh sendiri kalau badan kita kuat melawan kuman tu. Tapi masa mengandung ni badan kita memang agak lemah berbanding masa tak mengandung.  Jadi pagi Isnin tu sebab demam belum kebah, saya pun ke klinik. Doc minta buat ujian darah, FBC. Daripada result darah tu confirmlah ada jangkitan kuman, sel darah putih saya agak tinggi, bacaannya 15.5. Jadi doc pun start antibiotik, doc bagi Amoxicilin je, sebab ini antara antibiotik yang selamat untuk ibu mengandung. 

Sebenarnya masa menunggu tu, saya dah rasa tak selesa di bahagian bawah, miss V maksud saya. Ada rasa menyucuk yang sangat sangat haluuusss kat situ. Ngilu dan sakit sangat. Memang buat saya tak senang duduk. Sekejap sekejap sakit tu datang. Masa jumpa doc, saya dah mengadu tapi doc kata mungkin 'laluan' baby tengah nak buka. Tapi serius saya tak pernah rasa sakit yang sama masa mengandung dua orang anak sebelum ni. Bali rumah, sampailah esoknya..sakitnya semakin kuat, dah tak halus dah tapi ngilu dan rasa macam terbakar. Dah la esoknya saya mula sakit mata pulak. Allah....semua sakit tu datang serentak. Memang saya tak leh buat apa. Macam kemurungan pun ada dibuatnya. Rasa sunyi, rasa sedih, rasa takut...yang sebenarnya disebabkan rasa sakit di merata-rata. Atas bawah sakit. Mata kabur, pedih, gatal, bila batuk perut sakit, selesema buat tak selesa, miss v pun nyut nyut nyut. 

Malamnya, saya teringat tentang UTI atau bahasa biasanya kencing kotor. Saya pernah kena dulu, dan rasanya lebih kurang sama...sebenarnya jauh lebih sakit masa kena kencing kotor tu sebab dah tahap demam. So saya pesan pada suami belikan air barli. Air barli sangat berkesan untuk rawat kencing kotor secara natural. Alhamdulillah, pagi tadi sakit tu dah hilang, Syukur sangat-sangat. Tak kisahlah sama ada sebab antibiotik atau sebab air barli, yang penting dah tak sakit lagi. Demam memang dah tak de sejak semalam. Tinggal batuk masih bersisa. Sakit mata masih ada, tapi dah tak mengganggu sangat. 

Alhamdulillah, saya berharap sangat cepat sembuh semuanya sebelum melahirkan. Saya perlukan kesihatan yang tip top sebelum deliver. Semoga Allah al-Mujib kabulkan.

0 comments: