Datuk Hasbullah Awang Kembali ke Rahmatullah




PENGULAS sukan, Datuk Hasbullah Awang meninggal dunia ketika dalam rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), sebentar tadi. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Pengulas sukan terkenal, Datuk Hasbullah Awang, 63, meninggal dunia ketika dalam rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 12.20 tengah hari.

Hasbullah yang dirawat di IJN sejak 4 Februari lalu adalah seorang pengulas sukan termasyhur di Malaysia. Beliau berkhidmat dengan saluran Astro Arena sejak Januari 2014 setelah berhenti berkhidmat sebagai pengulas sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau memulakan tugas sebagai juruhebah radio di Radio 1. Pernah menjadi pembantu mengendalikan program khas radio untuk kanak-kanak bersama Kak Yong.

Hasbullah lebih dikenali sebagai pengulas untuk pelbagai acara sukan tempatan mahupun luar negara.

Populariti beliau memuncak ketika zaman bola sepak Malaysia memasuki era Semi-Pro pada awal 1990-an. Pernah menyumbangkan suara untuk filem Sumolah arahan Afdlin Shauki.

Kalangan peminat sukan menganggap beliau sebagai antara pengulas terbaik yang pernah dilahirkan negara sebaris nama-nama besar lain seperti Datuk Rahim Razali.

Beliau mempunyai aura tersendiri dengan intonasi suara yang menarik membuatkan penonton menjadi seronok mendengar setiap ulasan daripada beliau.

Jenazah dijangka dibawa pulang ke rumahnya di Seksyen 32, Bukit Naga Shah Alam jam 3 petang ini dan dijangka disemadikan selepas Asar atau pagi esok.

*************************

Daripada Allah kita datang, kepada-Nya juga kita kembali. etiap jiwa pasti akan menemui mati. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat roh beliau, selama ini kita mendengar suara dan celoteh beliau di tv, hari ini kita sumbangkanlah suara kita untuk beliau. Semoga apabila sampai masanya kita pula meninggalkan dunia ini, ada yang sudi sedekahkan al-Fatihah buat kita. Aminn. Al-Fatihah.