SOLAT SUNAT TAHAJJUD
Solat sunat tahajjud digalakkan agar didirikan
pada setiap malam.
Kita solat fardhu Isyak di awal waktu kemudian bersegera tidur agar dapat bangun di tengah malam untuk mengerjakan solat sunat tahajjud.
Hukum solat tahajjud adalah sunat muakkad
– iaitu amalan sunat yang sangat digalakkan.
Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan.
Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.
Baginda sendiri tidak pernah meninggalkan solat sunat Tahajjud walau satu malam pun sehingga kedua-dua kaki baginda bengkak-bengkak kerana terlalu banyak berdiri.
Firman Allah SWT.:
“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
(Surah Isra’; ayat 79)
.
Rasulullah SAW bersabda:
“Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)
Baginda juga bersabda yang ertinya;
Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat malam (solat tahajjud)”
— H.R Muslim
Solat sunat tahajjud sangat digalakkan dilakukan bersama-sama dengan solat taubat.
✅ WAKTU SOLAT TAHAJJUD
Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur pada waktu selepas tengahmalam
( jam 12 malam) , hingga sebelum masuk waktu subuh.
Waktu ini adalah selepas bangun daripada tidur sewaktu keadaan senyap sunyi dikala semua manusia lain sedang nyenyak tidur dan afdalnya dibuat secara bersendirian
Firman Allah SWT:
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, atau lebih daripada seperdua itu dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.
— Surah al-Muzzammil ayat 1–4
Amalan bangun untuk beribadah selepas tidur malam ini dikenali sebagai Qiamullail.
✅ TUJUAN SOLAT TAHAJJUD
Sebagai petanda perhambaan kepada Allah SWT.
Mendekatkan seorang hamba dengan Penciptanya
Tanda kesyukuran manusia di atas nikmat kurniaan Allah SWT.
Menguatkan jiwa dan ketaqwaan seseorang kepada Allah SWT.
Mendapatkan ketenangan dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup.
✅ NIAT SOLAT TAHAJJUD:
Apabila bangkit selepas tidur di tengah malam, ambillah wuduk.
Seterusnya mengadap arah kiblat unt bersolat dan ucapkan lafaz niat solat solat tahajjud ini:
(Ushalli sunnatat tahajjudi rak’ataini Lillahi ta’ala)
Sahaja aku bersolat Sunat Tahajjud dua rakaat, kerana Allah Ta’ala.
✅ CARA & BACAAN SOLAT TAHAJJUD
Cara solat tahajjud dari segi pergerakan adalah sama seperti solat-solat yang lain.
Selepas Al Fatihah, bacaan surah dalam solat ini tidaklah ditentukan. Oleh itu, bolehlah dibaca mana-mana surah yang disukai.
Di bawah ini adalah cadangan surah yang lazimnya kerap dibaca.
✏️Rakaat Pertama
Pada rakaat pertama, surah Al-Fatihah dan diikuti surah Al-Kafirun:
Qul yaa ayyuhal-kafirun. La a’budu maa ta’buduun. Wa la antum ‘Abiduna maa a’bud. Wa laa ana ‘Aabidum maa ‘abattum. Wa laa antum ‘abiduuna maa a’bud. Lakum diinukum wa liya diin.
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.
✏️Rakaat Kedua
Pada rakaat kedua, surah Al-Fatihah dan diikuti surah Al-Ikhlas:
Qul huwallahu ahad. Allahus-samad. Lam yalid wa lam yuulad. Wa lam yakul lahuu kufuwan ahad
Maksudnya:
Katalah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
ATAU yang sangat afdhal :
a) Rakaat pertama: Ayat Al-Kursi (7 kali)
b) Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas (11 kali)
ATAU boleh dibaca mana2 surah yg di sukai.
✅ RAKAAT SOLAT TAHAJJUD
Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam.
Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat tetapi dilakukan secara berterusan setiap malam.
Solat sunat tahajjud boleh dikerjakan sebanyak dua, empat, enam, lapan dan dua belas rakaat. — ia boleh dilakukan sebanyak mungkin mengikut kemampuan masing2.
Tetapi apa yang lebih penting, sebolehnya ia dilakukan secara istiqamah setiap malam walaupun hanya dilakukan 2 rakaat sahaja.
Rasulullah SAW telah bersabda,: “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.” (Riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah.)
✅ DOA SELEPAS SOLAT
Tidak ada doa khusus yang harus dibaca setelah Solat Tahajud, dengan kata lain kita bebas menentukan doa apa yang ingin munajatkan kepada Allah Azza wa Jalla.
Akan tetapi, ada sebuah doa yang sering diamalkan oleh Rasulullah selepas Solat Tahajud, iaitu :
Allahumma laka hamdu anta qoyyimussamawaa ti wal ardhi waman fi hinna, walakal hamdu laka mulkussama waa ti wal ardhi waman fii hinna, walakal hamdu nuu russama wa ti wal ardhi, walakal hamdu antal haqku wa wa’ dukal haqku wa liqo-u-ka haqku wa qauluka haqku wal jannatu haqku wanna ru haqku, wannabi yuu na haqku, Wamuhammadun sallallahu ‘alaihiwasallam haqku, wassa-‘atu haqku
Allahumma laka aslamtu, wabika amantu, wa alaika tawakkaltu wa ilaika anabtu wabika khosomtu, wa ilaika hakamtu, fagfirli maaqaddamtu, wa maa akhortu wa maa asrartu wa maa ‘a lantu, antal muqoddimu wa antal mu-a-khiru, laa ilaha illa anta au laa ilaha ghoiruka wa laa hau la walaa quwwata illa billahi
Maksudnya:
Ya Allah, bagiMu segala puji, Engkaulah penegak langit dan bumi serta segala isinya.
BagiMulah segala puji, Engkau raja penguasa langit dan bumi. BagiMulah segala puji, pemancar cahaya langit dan bumi.
BagiMulah segala puji, Engkaulah yang benar, janjiMu adalah benar, perjumpaanMu itu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah, kepadaMulah aku berserah diri, kepadaMulah aku kembali, kepadaMulah aku rindu, dan kepada Engkaulah aku berhukum. Ampuni aku atas kesalahan yang telah aku lakukan dan yang sebelumnya, baik yang aku sembunyikan mahupun yang dinyatakan.
Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (kekuasaan) Allah.
✅ KELEBIHAN SOLAT TAHAJJUD
Tahajjud adalah solat sunat yang paling afdal.
Doa dimakbulkan Allah.
Memperolehi ketenangan jiwa.
Merasai diri hampir kepada Allah SWT.
Diberikan keistimewaan oleh Allah SWT.
Memperolehi pertolongan dan rahmat Allah.
Menewaskan gangguan dan godaan syaitan.
Mencegah dosa dan menghindari penyakit.
Menjadi lebih berdisiplin dalam melakukan tugas.
Allah SWT memudahkan menerima ilmu yang dipelajari.
Terkeluar daripada catatan sebagai golongan yang lalai.
Dihormati masyarakat dan dijauhi daripada hasad dengki manusia.
Allah SWT memberikan kemudahan dan rezeki yang berpanjangan.
Orang bersolat Tahajud menjadi kesayangan Allah SWT.
Diberi keistimewaan yang orang lain tidak perolehi.
Mendapat kemuliaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
Meninggikan martabat seorang hamba di sisi Allah Azza Wa Jalla.
Memudahkan hisab di akhirat dan melintasi Titian Siratal-Mustaqim.
Selain itu, terdapat Lima Ganjaran Tahajjud di Dunia iaitu :
1. Jauh Daripada Semua Penyakit
Salman Al-Farisi menceritakan, Rasulullah SAW pernah bersabda;
Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”
2. Dikurniakan Kesan Takwa Pada Wajah
Pernahkah melihat wajah-wajah ahli ibadah yang mengamalkan solat malam?
Bukankah wajah mereka kelihatan berseri dan tenang?
Itulah bukti anugerah yang Allah berikan kepadanya.
Bukan itu sahaja, dengan melihat wajah mereka sahaja pun kita berasa cukup bahagia dan seronok, bahkan terasa mahu melihatnya berkali-kali.
3. Dikasihi Oleh Semua Manusia
Sesiapa yang mengamalkan ibadah malam pasti akan dikasihi oleh setiap manusia, apatah lagi oleh Allah SWT.
Begitulah ciri-ciri orang yang beriman dan beramal dengan Allah pasti akan mendapat kasih sayang dari sesiapa pun.
4. Percakapan Dan Perbuatannya Mengandungi Hikmah (Kebijaksanaan)
Sesungguhnya ciri-ciri mereka yang beriman adalah yang menjaga adab dan pertuturan kata-kata mereka.
Golongan ini sudah tentu tidak berbicara hal yang melalaikan tetapi setiap kata-kata mereka adalah yang bermanfaat dan berhikmah.
Begitu juga dalam perbuatan dan tindak tanduk mereka yang sentiasa berusaha menjauhi perkara yang melalaikan dan berlumba-lumba melakukan kebaikan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
5. Dikurniakan Kekuatan Dan Rezeki (Halal dan Diberkati)
Dengan menunaikan setiap amal ibadah kepada Allah SWT, tidak kiralah apapun ibadahnya pasti akan ditunaikan rezeki yang melimpah-ruah, seperti makanan yang enak, kesihatan, keluarga yang bahagia dan sebagainya.
Bahkan setiap rezeki akan diberkati oleh Allah SWT.
.
.
Kala Tahajjud, Allah Membuka Pintu Langit Kepada HambaNya.
Satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.
Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya.
Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula.
Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.
Semoga Allah sentiasa membantu kita semua untuk memudahkn kita bertahajjud ; bagi memulakan, juga sentiasa istiqamah melakukannya..aamiin.
JOM TAHAJJUD
0 comments:
Post a Comment