Apakah Niat Kita Tayang Juadah Berbuka Puasa di FB, Blog


Selamat meneruskan ibadah puasa buat semua, ditambah dengan ibadah-ibadah yang lain untuk lebih mengimarahkan Ramadhan yang datang hanya sekali dalam setahun.

Ibadah puasa di negara kita ni sangat sinonim dengan juadah, terutamanya juadah berbuka puasa. Buktinya, belum pun Ramadhan dah ada macam-macam iklan di TV tentang makanan berbuka baik buah kurma Yusof Tay***ub, air soya, minuman malt, dan macam-macam lagi. Kemudian ada pulak rancangan-rancangan khusus untuk masakan berbuka macam Ket*k-ket*k Ramadhan, dan lain-lain. Lagi, bazar Ramadhan. Di mana-mana ada je bazar Ramadhan dibuka dan saiznya tapaknya bukanlah kecik-kecik menandakan betapa banyaknya gerai yang menjual juadah untuk berbuka puasa. 

Tahun ni saya nampak banyak keluarga yang melaksanakan 'ops bazar Ramadhan', ataupun 'no bazar Ramadan'. Niat dan kempen tu memang bagus. Selain salah satu langkah berjimat kerana harga makanan di bazar sekarang dah melambung-lambung ibarat bola, masak sendiri juga menjamin aspek kebersihan dan kesucian serta kehalalannya. Masak sendiri juga dah tentulah boleh mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, dan juga boleh elakkan pembaziran. Ok, itu semua adalah sebahagian daripada kebaikan masak sendiri juadah berbuka.

Cuma...apa yang saya rasa macam kurang best, dan kurang sesuai sikit...saya dapati ramai juga di antara kita ni lepas dah masak sedap-sedap, kita tayang di FB dan blog. Memang sekarang era digital dan ict, beberapa minit je, umum dah boleh tahu apa yang tersaji di atas meja makan kita. Saya sebenarnya secara peribadi tak kisah pun orang nak tayang gambar makanan di blog atau di FB. Tapi saya rasa, konsep puasa seakan melencong sikit bila kita buat begitu. Kalau sesiapa yang pernah tinggal di kampung tentu biasa dengan amalan sedekah dan bertukar-tukar juadah berbuka di kalangan jiran tetangga. Apa mak kita masak, jiran-jiran kita akan dapat rasa sedikit. Apa pula yang jiran kita masak, ada rezeki kita akan dapat rasa sedikit. Tu yang kadang-kadang emak atau nenek kita tak berani nak masak banyak-banyak jenis juadah sebab nanti bila ramai yang datang menberi, tak termakan pulak. Jadi masa tu, konsepnya masak biar lebih, diagih-agihkan. Dan masa tu kalau terbau masakan kita ke rumah jiran sebelah, walaupun sikit masakan tu mak mesti bagi juga pada mereka. Jangan biar jiran kita rasa teringin disebabkan bau masakan tu. Dengan cara tu, hubungan silaturrahim juga bertambah erat, konsep puasa pun dapat dihayati. Mungkin ada yang kurang mampu, dapat juga berbuka dengan juadah enak pemberian jiran.

Tapi apa yang berlaku pada masa sekarang, tayang-menayang makanan di FB dan blog di bulan puasa adalah sebaliknya. Saya sendiri tertanya-tanya apakah tujuan tayang-menayang ni sebenarnya. Adakah semata-mata untuk berkongsi, atau nak bagi idea pada kawan-kawan untuk pilih menu yang sama di lain hari, atau saja suka-suka? Saya khuatir, dalam niat suka-suka kita tu, ada insan yang terliur melihat gambar makanan yang kita tayangkan.  Ataupun mungkin kita tayang lauk-pauk kita yang berjenis-jenis belum campur lagi kuih-muih, sedangkan ada insan yang berbuka sangat ala kadar sekadar mengalas perut yang lapar. Maklum sajalah bulan-bulan puasa ni, tak payah letak gambar pun, cakap saja boleh buat orang rasa teringin. Kalau ada yang terliur dan kemudian-kemudian nanti dia boleh beli sendiri, tak apa juga. Tapi kalau yang teringin itu memang tak berkemampuan, apalah rasanya? Yang menayang tentu saja tidak ada niat untuk memberi pada yang melihat. Dan memang tak logik pun nak bagi, bukannya dekatkan? Paling-paling pun orang akan mintak resepi. 

Saya pun sebenarnya suka masuk blog-blog masakan ni, dapat juga kutip ilmu memasak. Cedok-cedok resepi. Tapi mungkin di bulan puasa ni tak perlu kita mention hari ni kita berbuka ini, ini, ini dan itu. Bimbang ada terselit rasa bangga dengan nikmat yang Allah beri itu.

Sekadar perkongsian, semoga memberikan manfaat.


sumber: fb
Nota: Belum fikir juadah berbuka.

0 comments: