Pengalaman Berpantang Keguguran: Berpantang Ikut Kesesuaian Badan Masing-masing

Pengalaman Berpantang Keguguran


Assalamualaikum, w.b.t

Alhamdulillah, sekarang ni usia kandungan saya dah 33 minggu ++. Masih belum matang, namun saya berdoa mudah-mudahan baby akan terus sihat dalam kandungan dan selamat bersalin serta membesar. Pengalaman keguguran tahun lepas walaupun tidaklah pahit dan terkenang-kenang namun kesan pada badan selepas keguguran tu agak teruk. 

Semalam sempat bersembang dengan kakak saya melalui phone, saya baritau mungkin tak balik kampung Raya Haji nanti, risau jadi apa-apa dalam perjalanan dan badan pun rasanya dah tak larat nak menempuh perjalanan yang jauh. Kakak saya tanya persediaan berpantang macam mana? Dah siap ke semua? Langsung teringat hutang kat blog ni, ada janji dengan pembaca yang saya nak tulis tentang berpantang keguguran. Dulu, sebelum buat prosedur ERPOC, saya sendiri pun google juga cari tentang berpantang keguguran. Jadi setelah melaluinya sendiri apa salahnya saya pulak berkongsi.

Saya buat prosedur ERPOC pada 3 Oktober 2013. Dua minggu sebelum tarikh tu saya dah jumpa O&G Serdang dan dah booking tarikh tersebut. Jadi dalam tempoh tu sempat lah saya buat persiapan berpantang sikit-sikit. Walaupun saya ada sakit-sakit badan masa tu, tapi saya tak sakit perut. Nampak sihat je macam orang biasa, sementelah perut pun belum nampak buncit lagi.

Lepas dah google sana google sini, saya buat kesimpulan bahawa berpantang keguguran ni tak strict pada satu cara yang tetap. Lain orang lain cara. Ramai yang beri pesanan pada saya, berpantang keguguran lagi susah, tak boleh sejuk dan tak boleh panas. Masa tu saya pun taktau yang mana satu saya nak ikut. Tanya mak, mak pun tak arif sangat. "Aku dulu takde pantang-pantang pun" Haaa! kan best bunyinya tu. Hehehe. Mak maksudkan masa dia keguguran anak pertama dan anak ketiga, saya ni anak kedua dan akhirnya jadi the only one anak mak.

Kenali Badan Sendiri Sebelum Putuskan Cara Berpantang


Makanya, saya hadap je la. Saya rasa saya kenal badan saya. Badan saya ni jenis kuat angin, mudah kena angin, tak tahan sejuk, tapi saya jenis tahan jika guna tenaga. Maksud saya, dalam tempoh pantang saya masih boleh buat kerja-kerja ringan, tak lah sampai bentan. Saya tahu semua ni sebab saya pernah berpantang sendiri masa anak sulung. Tapi ye la, umur makin meningkat kadang-kadang badan pun berubah jugak.

Persediaan Berpantang Cara Saya

1- Set Berpantang



Pati ikan haruan dan Habbatussawda pemberian tetamu

Saya beli set berpantang, walaupun set tu sebenarnya untuk orang pantang bersalin. Saya belum pernah jumpa set berpantang keguguran lagi setakat ni. Saya pilih set yang ekonomi dan sesuai dengan bajet. Lagipun masa tu baru je 13 minggu, masih awal lagi dan badan pun tak banyak berubah lagi secara fizikal. Saya beli Set Bersalin Afiat. Tapi saya tak guna semualah dalam set tu. Saya paling suka mandian dan feminine wash dia. Rasa segar je bau serai wangi dalam gel mandian tu. Minyak Afiat tentulah guna. Oh ye, saya jugak beli minyak Mustajab NR sebab masa berpantang Sofiy dulu saya guna dan bagus sangat.

2- Tukang Urut


Budak yang sibuk nak urut jugak

Saya booking juga tukang urut sebab saya tau badan saya ni. Mudah masuk angin, kalau tak urut haruslah berat je badan dan mungkin mudarat jadinya. Saya booking urut pada hari ke-3 kalau tak silap.

3- Tungku

Saya belum buat keputusan nak bertungku ke tak sebelum buat ERPOC. Sebabnya ada macam-macam petua dna nasihat saya dengar. Ada yang kata kena tungku, ada yang kata tak boleh tungku. Jadi, saya cuma pesan pada tukang urut mungkin nanti saya nak tungku sekali. Tukang urut pun memang sarankan tungku cuma tak payah tungku perut katanya.

4- Vitamin

Saya pilih vitamin sebab dengarnya tak elok makan jamu-jamu, panas. Lagipun saya memang pemakan vitamin tegar. Maklumlah pengedar Shaklee, takkan sendiri tak makan vitamin Shaklee pulak. Jadi saya sediakan Set Berpantang Shaklee yang terdiri daripada Vitalea, B-Complex, Ostematrix, Vita-C dan Zinc Complex. Saya bawak juga kapsul Habbatussawda yang Prof saya hadiahkan.

5- Air mandian



Ihsan kawan saya yang masih ada baki uncang mandian berpantang, dan juga ihsan tukang urut yang carikan daun-daun dan akar kayu untuk saya rebus buat mandi. 

6- Bengkung

Saya sedia jugak bengkung. Mula cari bengkung sendiri dah tak jumpa, dah terbuang agaknya. Last-last pinjam kawan punya. Bengkung tali kasut yang diperbuat daripada kain belacu tu. Saya memang ingat nak bengkung kosong je takde nak bubuh apa-apa pada perut kecuali minyak.

7- Lauk dan makanan berpantang

Layan gambar dulu k.

 Ni hidangan pertama lepas balik dari hospital. Bubur nasi masak dalam rice cooker saja



Tofu telur tu, kalau berani makan, tak berani jangan makan ye


 Sedapnya serunding pemberian Prof


 Simple tapi percayalah..sedaaap! pegaga bagus dimakan sewaktu berpantang, halia untuk buang angin


 Sup ikan ihsan pemberian labmate yang datang dari Sepang +  bawang putih goreng



                                          Ikan selar kuning masak asam rebus (tanpa belacan)

 Tenggiri goreng 



Bubur nasi dengan sawi lagi

Biskut-biskut dan roti sebagai snek. Ni pemberian tetamu juga

Yang ni, saya sempatlah beli stok barang basah macam ikan, sayur, halia, bawang putih, lada hitam. Ikan bilis saya goreng siap-siap masuk tupperware kedap udara, lada hitam pun saya tumbuk siap-siap. Ada yang kata jangan makan lada hitam, panas. Tapi saya spare jugaklah.

Apa Yang Jadi Masa Berpantang?

2-3 hari pertama, saya rasa macam tak berpantang pun, Rasa badan sihat sangat. Prof dan kawan-kawan datang melawat pun saya hu ha hu ha je gelak. Pergerakan pun macam biasa je takde nak jalan macam pengantin. Saya tetaplah berpantang, jaga makan, jaga waktu makan, sapu minyak, pakai stokin, pakai bengkung, bertungku, mandi air suam. Rasa syoknya berpantang tapi tak perlu jaga baby yang asyik menangis nak susu. Tapi lepas je 3 hari, dah mula rasa sakit kat bahagian perut, rahim la tu. Sakit yang bisa mencucuk-cucuk. Saya tanya kawan yang dah senior dan ada 5 orang anak, pernah keguguran dan pernah D&C. Katanya memang normal sebab saya buat D&C dan rahim mungkin luka. Awal-awal saya tak rasa sebab baki ubat bius masih ada. Oooo...bagitu rupanya.

Dah mula sakit kat perut, badan pun dah mula sakit-sakit dan bisa-bisa rasa macam dah masuk angin. Mujurlah memang jadualnya tukang urut datang. Berurut dan bertungkulah saya seluruh badan kecuali tang perut. Tukang urut tu kata, badan saya jadi macam tu sebab janin dah lama 'mati' kat dalam sebelum dikeluarkan. Kesan tu buat badan ibu pun mudarat sama. Itu kata dialah, ada logiknya juga sebab kalau kira-kira, 7 minggu juga janin yang dah tak bernyawa ada dalam rahim saya sebelum doktor decide nak cuci. Saya berurut tiga hari berturut-turut. Alhamdulillah banyak lah rasa leganya. 

Selepas sakit-sakit kat perut tu, saya tak pakai bengkung sebab rasa bengkung yang menekan tu buat saya tambah sakit. Saya tak berapa ingat berapa hari saya keluar darah nifas, tapi memang tak lama. Dah cuci bersih agaknya masa ERPOC. Tak silap saya lebih kurang seminggu. Mula-mula saya cuba solat macam biasa tapi sakit kat perut. Risau bagi kesan jangka panjang, saya solat duduk di kerusi. 

Travel Sewaktu Bepantang

Saya pernah cerita tentang perjalanan saya ke Sabah di SINI. Walaupun agak ragu-ragu sebab masa tu ngam ngam dua minggu selepas ERPOC, tapi saya terpaksa jugak cekalkan hati. Masa doc bagi tarikh ERPOC tu memang saya tak ingat langsung pasal tarikh konferens. Yang saya ingat tarikh Raya Haji je. Alhamdulillah sempat juga saya berpantang elok-elok di rumah 2 minggu. Ada orang kata tempoh berpantang keguguran memang 2 minggu tapi ada juga yang kata sebulan, ada yang kata 44 hari macam bersalin. Pada saya, terpulang pada badan masing-masing. Saya ke Sabah antas urusan konferens. Semua dah siap, dah booking flight untuk 2 dewasa dan 1 kanak-kanak, yuran persidangan dah bayar, hotel dah bayar, permohonan bantuan dana dah buat dengan Pusat Pengurusan Siswazah UKM, Kalau cancel, banyaklah saya rugi dan nak kena bagi justifikasi pada PPS lagi.


Muka masih kurang bermaya

Masa bertolak tu, saya dah agak sihat. Sakit perut dah ok, cuma yang risau sebab nak ke Sabah tu bawa anak, first time naik kapal terbang pulak tu. Dengan bagasi untuk 2 orang kan. Suami tak ikut sebab kerja, mujur ada coursemate temankan. Kesian dia sebab dia yang banyak bantu saya angkat barang. Nak buat sendiri memang larat tapi risau mudarat pada badan. Tarik bagasi saya buat, tapi kalau nak angkat saya tak berani. 

Saya bawak tungku sampai ke Sabah tau! Cuma tak bawak daun mengkudu je. hahaha. Sebagai langkah berjaga-jaga sebenarnya sebab saya risau apa-apa jadi kat tempat orang nanti susah. Allah tu Maha Mengetahui apa yang kita tak pernah tau benda akan jadi di masa depan. Kebetulan, saya sewa Promenade Service Apartment, hotel bajet yang ada kemudahan dapur sekali. Jadi boleh sangatlah saya nak bertungku kat sana. Cuba kalau saya tempah Promenade Hotel, tempat konferens tu diadakan? Nan hado la nak bertungku-tungku. 


Di bilik konferens berlangsung

Kat sana, saya kira saya ada jugaklah langgar pantang sikit-sikit. Saya banyak berjalan, dari hotel ke Pasar Filipina tu berapa kali. hehehe. Saya tidur dalam aircond, yelah saya bukan dok sorang dan takde kipas pulak bilik tu. Kena fikirkan orang lain jugak. Ada sekali saya berhujan, sebab masa keluar makan sebelah petang tu cuaca ok, tengah nak makan tu hujan selebat-lebatnya. Kat Sabah rasa cepat sangat malam dan malam pun cepat je tua. Jadi nak tak nak redah jugaklah hujan tu. Saya bawak bekal vitamin saya, dan ambil dengan konsisten. 

Pemakanan, seingat saya memang saya jaga. Saya tak minum ais atau air sejuk. Kalau susu segar yang dah letak dalam fridge tu, saya panaskan dulu dengan cara rendam gelas dalam air panas. Saya tak makan ikan sebarangan walaupun terliurnya seafood segar kat sana. Ada sekali makan malam saya order ikan besar yang tak bisa dan tak gatal, mintak buat masak stim.  Lain-lain hidangan saya biasa order nasi goreng ikan bilis, atau mintak sup ikan, special dari kedai dekat tu. Bukanlah special apa, maknanya menu tu takde dalam senarai tapi saya mintak masakkan. Rupanya sup ikan diorang macam singgang atau asam rebus tu. Ataupun sebab saya bagitau saya dalam pantang kot, jadi diorang masakkan macam tu. Sedap makan panas-panas. Allah mudahkan urusan saya sebenarnya. 

Itulah serba sedikit pengalaman saya berpantang keguguran. Balik dari Sabah saya teruskan berpantang, tapi bertungku bila perlu je la. Pemakanan saya jaga jangan ambik yang berangin, bisa dan sejuk. Kira-kira sebulan baru saya berani bawak motor balik. hehe. Apa yang dapat saya simpulkan, berpantang ni ikut badan masing-masing dna keupayaan masing-masing. Apa yang penting jangan tak pantang langsung, merana badan nanti. Kalau tak sekarang, di hari tua nanti. Itu saya percaya!



3 comments:

puterikemasul.blogsport.com said...

alhamdulillah banyak ilmu manfaat yang dikongsi, terima kasih banyak

Unknown said...

Dimanakah puan melakukan proses erpoc tersebut?

Unknown said...

Puan tak guna kah tungku afiat yg ada dalam tu