Dah lama sebenarnya teringat nak tulis tentang ni. Asalnya, masa makan kat cafe ternampaklah seorang budak lelaki keturunan Cina beli makanan. Lepas bayar diapun bawak makanan dalam pinggan ke meja, yang dah menunggu 3 orang kawannya. Kemudian budak ni tadah tangan (tak macam kita tadah tangan, macam genggam tangan la) dan mulutnya terkumat-kamit. Baca doalah saya kira, kemudian raup tangan ke muka dan makan dengan santunnya. Saya agak dia penganut Kristian. Masa tu saya tengok sekeliling, ramai budak Melayu beragama Islam, tapi tak ada yang tadah tangan dan baca doa. Mungkin mereka baca Bismillah saja, atau mungkin baca juga doa tapi tak lengkap bertadah tangan sesuai dengan adab berdoa.
Saya berfikir, sebenarnya saya sendiri pun tak konsisten dalam doa harian ni. Seingat saya, saya belajar doa makan masa tadika PASTI. Masa tu saya yang akan jadi ketua di meja makan. Emak dan ayah akan tadah tangan dan aminkan selepas saya baca kuat-kuat. Tapi rasanya tak lama pun amalan tu..masuk sekolah rendah tak pulak saya ingat tadah tangan baca doa makan. Entah-entah masa tu tak baca doa kot.hehe. Masuk sekolah menengah, memang saya konsisten sebab sekolah agama,kan. Lepas tu..rasanya baca juga tapi tulah tak cukup manner. Kadang-kadang sekadar Bismillah, kadang-kadang baca doa sambil lalu saja. Ish ish ish. Sekarang ni memang baca la sebab makan secara berjemaah dengan kawan-kawan sepenyelidikan, ada sorang tu akan jadi imamnya baca doa punyalah kuat nasib tak satu kafe boleh dengar.
Sebagai ibu, saya memang akan bacakan doa makan setiap kali anak saya nak makan, malah nak menyusu pun. Sekarang anak saya dah pandai tadah tangan dan baca doa dalam bahasa yang dia saja faham dan aminkan sekali. Saya tau kebanyakan anak-anak kecil akan ditekankan doa makan ni, dan comel je tengok mereka tadah tangan dan berdoa dengan gaya masing-masing. Alhamdulillah, mendidik anak-anak ini juga mendidik diri sendiri. Suami saya selalu kantoi. Dia dah sesuap dua, kemudian Sofiy tadah tangan baca doa.haha. Malu ayah!
Moralnya, konsistenlah dalam mengamalkan doa harian. Ini kerana doa adalah satu ibadah. Ia merupakan salah satu tanda kerendahan diri hamba terhadap Tuhannya. Ia boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Sesuatu ibadah itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, khusyuk, penuh tawaduk dan tertib. Doa merupakan sunnah para Nabi dan Rasul, juga merupakan kebiasaan para wali dan orang-orang soleh.Orang yang meninggalkan doa bererti dia telah menempuh jalan orang-orang yang sengsara dan sombong.
Nota: Dah baca doa sebelum makan, jangan pula lupa sesudah makan:-)
0 comments:
Post a Comment