Dato' Sudirman bin Haji Arshad
merupakan seorang penyanyi yang terkenal di Malaysia. Beliau telah
memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai
"Juara Bintang RTM 1976" pada 11 Ogos 1976. Selain itu,
beliau juga adalah satu-satunya pemegang gelaran "Penghibur Nombor 1 Asia"
(pada 19 Mac 1989) dari Pahang, Malaysia sebelum kehadiran Siti Nurhaliza.
Di samping itu, terdapat juga gelaran yang lain untuk beliau seperti
"Penghibur Milik Masyarakat", "Seniman Rakyat" dan
"Elvis Malaysia". Beliau juga mempunyai pelbagai kebolehan sebagai
seorang penyanyi, penghibur, penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku
memoir dan kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon.
Beliau
dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang. Beliau merupakan
anak bongsu kepada Hajah Romlah binti
Dahalan dan Haji Arshad bin Haji Hassan. Sejak kecil, Sudirman sering menyanyi
di mana sahaja. Di sekolah pula, beliau menyertai pertandingan bersyair,
berpidato, berpantun, kuiz dan terlibat dalam persembahan teater dan koir
sekolah. Dia suka bersukan, berpidato dan sering menghabiskan waktu di
perpustakaan. Sudirman juga
berjaya dalam bidang akademik apabila diiktiraf sebagai peguam pada
tahun 1984. Bagaimanapun, Sudirman meninggalkan bidang guaman kerana memilih
bidang seni sebagai kerjayanya.
Beliau
mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila berjaya merebut gelaran Johan
Bintang RTM peringkat akhir yang diadakan di Dewan Pay Fong, Melaka pada
11 Ogos 1976. Beliau mendendangkan lagu Seruling
Bamboo dan Big Spender In The Cabaret. Nama
Sudirman sebagai penghibur rakyat terus
subur di hati para peminat. Lagu-lagu dendangannya berjaya menggambarkan
kehidupan seharian rakyat serta memahami budaya dan cara hidup orang Malaysia.
Lagu-lagunya ada ditujukan untuk pelajar sekolah, pekerja kilang, jururawat dan
gadis desa seperti lagu Pesan Abang, Aku Penganggur, Basikal Tua, Orang
Kampung, Baru Dapat Kerja dan banyak lagi. Ada lagu sentimental berkisar kepada
alam percintaan hingga kepada lagu-lagu berunsur nasihat, patriotik, keamanan
sejagat dan mencintai tuhan seperti 31 Ogos, Penyu Menangis dan Tegakkan
Bendera Kita.
Pada
19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai "Penghibur Nombor 1
Asia" pada "Asian Popular Music Awards. Acara anugerah ini diadakan
bersama-sama dengan Saleem Music Awards Festival yang berlangsung
di Dewan Royal Albert, London. Beliau merupakan penyanyi yang pertama
dari Malaysia yang pernah memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah
mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong
Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh
Ledesma), Singapura (Anita
Sarawak), China, Taiwan, Jepun,Korea
Selatan dan Thailand. Dalam pertandingan tersebut, beliau telah menyanyikan
dua buah lagu bahasa Inggeris berjudul One
Thousand Million Smiles dan Send In
The Clown dengan menggayakan aksi lucu ala-ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan serta membolehkan
beliau mengalahkan wakil dari negara-negara lain yang lebih hebat
popularitinya.
Pada 15
April 1986 Sudirman menempa nama di dalam Malaysian Book of Records setelah mengadakan konsert gergasi
percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya memikat
serta memukau hampir 100 ribu warga kota untuk berpusu-pusu membanjiri jalan
itu. Lagu yang dinyanyikan oleh beliau ialah ‘Chow Kit Road! Chow Kit Road!’
dan diakhiri dengan lagu patriotik sambil memakai bendera Malaysia.
Jalan
Chow Kit pada era Sudirman adalah tempat untuk golongan marhaen. Jalan Chow Kit
menjadi simbol kepada orang-orang kebanyakan yang juga peminat beliau. Maka,
konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para
peminatnya yang tidak mampu menyaksikan konsert berbayar. Perkara ini juga
telah memberitahu kita bahawa beliau bukanlah seorang yang materialistik.
Pada
17hb. Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat
Perubatan Tawakkal, Kuala Lumpur selama empat hari. Beliau dilaporkan pengsan
setelah terjatuh. Selama tujuh bulan beliau terlantar sakit, keluarga rapatnya
merahsiakan punca penyakit dan lokasi beliau dirawat. Dalam tempoh itu, beliau
tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama
seminggu.
"Dia
mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai
hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat
sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal
dunia," begitu penjelasan kakak Sudirman, Rodziah apabila ditanya apakah
Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit selain
adik-beradiknya.
Pada
22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, ketika
berusia 37 tahun, Sudirman Haji Arshad telah kembali ke rahmatullah di rumah
kakaknya setelah tujuh bulan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia).
Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah
Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45
petang. Ribuan peminat termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato'
Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap
sebagai suatu kehilangan yang besar bagi dunia hiburan tanah air. Lagu beliau
yang berjudul Salam Terakhir seakan suatu petanda bahawa beliau akan pergi awal meninggalkan
peminatnya.
sumber: wikipedia (diubahsuai serba sedikit)
0 comments:
Post a Comment