Malam ke -20 Ramadhan. Sempat lagi ke nak khatam Qur'an

Malam ini dah malam ke-20 Ramadhan. Jom kita tukar gear dalam beramal ibadah. Masih berbaki 10 hari, sayangnya kalau kita tak rebut keberkatan, kemuliaan dan manfaat Ramadhan yang berlipat kali ganda. Ramadhan datang setahun hanya sekali sahaja. 

Apa kata kita kemaskan solat fardhu kita. Mana-mana bacaan sunat dalam solat yang tak dibuat selama ini, kita mula lakukan. Kita cuba untuk khusyuk. Selepas solat kita tambah dengan zikir dan wirid. Seterusnya disudahi dengan doa, bercakaplah dengan Allah. Mohonlah taubat kerana di bulan ini Allah ingin mengampunkan orang-orang yang bertaubat. Mintalah apa sahaja yang kita hajatkan (perkara kebaikan) walaupun kita rasa seakan mustahil, tetapi tiada yang mustahil bagi Allah. 

Selain tarawih, kita juga boleh menggandakan solat sunat. Solat sunat ada banyak, pilihlah mana-mana yang kita selesa. Di waktu siang, ada solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu misalnya. Solat sunat dhuha, boleh juga solat sunat taubat dan bermacam lagi. Pada malam hari sunat tahajud diutamakan, solat sunat taubat, solat sunat tasbih dan solat sunat hajat dan witir serta pelbagai solat sunat lagi.

Bacalah Al-Qur'an kerana bulan Ramadhan juga bulan Al-Qur'an. Jika kita sudah mula di awal Ramadhan tapi belum lagi khatam, masih ada 10 hari untuk kita pecut. Pecut dengan kualiti bacaan yang masih dijaga tentunya. Kalau belum bermula? Sempatkah? Sempat. Dengan syarat ada kemahuan dan ada target. Dan syarat lain, kurangkan atau elakkan perkara yang tidak bermanfaat misalnya menonton tv, shopping online, searching perkara yang tidak perlu, dan menghadap facebook. In sha Allah minimum 3 juz sehari. Mari saya kongsikan caranya.

Sebelum atau selepas solat Subuh = 5 helai
Selepas solat Dhuha = 5 helai
Bersamaan = 1 juz

Sebelum atau selepas solat Zuhur = 5 helai
Sebelum atau selepas solat Asar = 5 helai
Bersamaan = 1 juz

Selepas solat Maghrib = 5 helai
Selepas tarawih / solat malam = 5 helai
Bersamaan = 1 juz

Anggaran masa = setengah jam / 5 helai

Nak lebih cepat atau ada halangan pada waktu-waktu di atas:

Baca sebelum dan selepas solat
Baca pada waktu menunggu berbuka puasa




Zikir, satu lagi amalan yang paling mudah asalkan dibiasakan. Zikir boleh di bibir dan boleh juga sekadar di hati. Kalau dulu kita habiskan masa dalam perjalanan ke tempat kerja dengan lagu-lagu dari radio, apakata kita ubah. Tutup radio, dan kita pula yang jadi artisnya. Zikirlah apa sahaja yang kita suka asalkan memuji Allah, mohon keampunan Allah dan juga Rasulullah S.A.W. Boleh istighfar, boleh selawat, boleh zikir Saiyidatina Fatimah, boleh zikir asma' ul husna dan bermacam zikir lagi. Pahala sunat di bulan Ramadhan adalah berganda-ganda. Rugi tak ambil peluang ini.

Rasulullah SAW bersedekah di bulan puasa ibarat angin yang berlalu. Maknanya betapa banyaknya baginda bersedekah. Dah dapat gajikan? Alhamdulillah kalau ada bonus lagi. Zakat dah bayar? Zakat fitrah dan zakat pendapatan serta lain-lain zakat yang berkenaan. Zakat itu menyucikan harta. Sedekah pula menjemput rezeki, menolak bala, memelihara kesihatan dan lain-lain manfaat. Setiap sedekah pahalanya digandakan 10kali. Kalau bersedekah RM10 in sha Allah dibalas 100. Namun di bulan puasa adalah berkali-kali ganda lagi ganjarannya. Sedekah juga ada banyak cara, yang paling afdhal ialah sedekah kepada keluarga dan kerabat. Seterusnya anak yatim dan fakir miskin serta muslimin muslimat yang lain dan juga manusia secara amnya. Boleh sedekah wang, boleh wakaf, boleh juga sedekah makanan untuk orang berbuka puasa. 

Haa..dekat nak raya ni mesti shoppingkan? Ada masuk tandas awam tak? Kalau ada tandas yang berbayar tu apakata bagi lebih sikit kepada penjaga tandas tu. Misalnya bayaran masuk RM0.20 kita bagi je RM1 dan katakan "simpanlah bakinya tu". Tentu gembira pekerja tersebut, tidak kiralah apa pun bangsanya. Kalau pergi cuci kereta pun begitu juga. Sebelum balik kampung mesti nak cuci kereta kilat-kilat dulukan? Kalau upahnya RM8 lebihkan la sikit jadikan RM10. Kalau rumah kita ada guard, apa kata masa ke bazar Ramadhan tu beli lebih sikit dan sedekahkan pada mereka yang menjaga keselamatan kediaman kita. Kalau tak pun guard di sekolah anak-anak kita. Atau, sedekah pada pengasuh dan cikgu anak kita. Sebenarnya banyak lagi peluang untuk bersedekah dan berbuat baik. Memanglah senyum itu sedekah tapi sampai bila sedekah kita hanya senyuman? Kalau kita menghulur sikit pun kita masih boleh senyum,kan? Dah berganda sedekah di situ.

Itulah sedikit sebanyak peluang yang perlu kita rebut dna raih di penghujung Ramadhan ini. Ubah setting minda kita, yang diraikan adalah Ramadhan, bukannya Syawal. Tak salah bergembira di hari raya, sememangnya hari raya itu untuk kita bergembira. Tetapi cuba kita fikir-fikir semula, kenapa kita nak gembira? Sebab dah tak perlu puasa? Sebab jumpa saudara-mara? Sebab kita boleh makan macam-macam juadah? Bukan itu sebenarnya motif gembira di hari raya. Jadi, carilah sebab untuk kita bergembira di hari raya nanti. Sekaranglah peluangnya. Saya mengingatkan diri saya sendiri dan andai ada kebaikannya untuk pembaca blog ini, saya bersyukur kepada Allah.

Wallahu a'lam, saya mohon keampunan Allah.

1 comments:

Fiza Rahman said...

In shaa allah. Masih boleh lagi tu.