Asam jawa penawar demam kami anak beranak

Nak coret sikit di sini supaya nanti senang kalau demam teringat apa petua yang boleh diamalkan. Kadang-kadang petua-petua ni kita dah tau, tapi bila kena sesuatu musibah tu tak ingat nak amalkan. Sama la tentang asam jawa ni, punyalah lama dok demam berganti-ganti sekeluarga, tapi tak ingat langsung pasal asam jawa. Dok gigih minum jus roselle, minum air barli, minum air kosong dah tentu la kan, minum madu, minum cincau dan sebagainya tapi lupa nak cuba asam jawa.

Sofiy demam lagi semalam. Masa dia demam yang sebelum ni, entah macam mana saya teringat pesan kawan saya Akma yang suruh saya mandi air asam jawa masa saya demam (bila dah tak ingat). Jadi saya pun bancuh asam jawa ekstra Adabi tu. Nampak sangat kat rumah ada asam jawa segera tu je.hehe. Saya bancuh sebaldi kecik dengan air suam suam kuku, dan mandikan dia seluruh badan guna cawan. Kiranya nak bagi rata la, tu yang tak guna gayung biasa. kemudian tang kepala saya jaram-jaramkan. Masa saya buat tu memang taktau cara dan kaedah yang sebenar, main hentam saja. Sudahnya saya taktau nak kena bilas ke tidak. Saya buat keputusan sendiri, tak bilan seluruh badan. Saya bilas tang 'ehem' nya saja.hihi. Alhamdulillah, lepas mandi tu panas badan Sofiy pun surut, dan terus baik dengan izin Allah jua adanya.

Lepas tu, bila saya rasa je macam nak sakit tekak terus saya bancuh air asam jawa satu tumbler. Caranya saya masak air, kemudian bubuhla sebanyak mana asam jawa yang dikehendaki dalam tumbler. Kalau nak pekat dan anda jenis tahan minum masam-masam bubuhla banyak. Kalau tak, bubuh sederhana dah la tapi jangan sikit sangat sampai tak berasa pulak. Kemudian saya masukkan gula, tupun terpulangla saya tak ada sukatan tertentu. Main agak-agak saja masam-masam manis. Taknak gula pun takpa, tapi masam kiam la rasa dia nanti. Tuang air panas dalam tumbler tu sebelum tidur malam, dan biarkan semalaman. Esoknya, sedia untuk dibawa ke tempat kerja. Sedap.....dan panas badan pun boleh dikurangkan. Alhamdulillah cara ni berkesan, saya dapat hindarkan daripada sakit tekak yang membawa kuman dalam darah tu.

Semalam Sofiy demam panas tiba-tiba sebelah petang masa di rumah BS. Demam dia tinggi betul, sampai makan pun dia tak lalu. Dia yang sporting makan ubat pun taknak makan ubat. Nak tak nak saya terpaksa masukkan ubat bontot juga walaupun dia dok merayu "nanak, nanak, nanak". Risau saya apa-apa jadi sebab suami masih di tempat kerja. Lepas ubat dah beri kesan baru la dia mau makan nestum, habis semangkuk. Lega saya. Tapi menjelang tengah malam, demam naik balik. Nak buat sponging tengah-tengah malam tu mesti boleh terjaga orang atas dengar dia meraung. Tengok suhu 38.2. Saya bancuh asam jawa dalam mangkuk, baca Al-Fatihah dan selawat serta niat....jaramkan kat kepala dia. Kena pujuk-pujuk sikitla sebab dia macam nak nangis juga. Tapi bila dengar umi doa sambil sapu air asam jawa tu, dia diam macam faham je umi tengah risaukan dia. Alhamdulillah demamnya surut dan bertahan sampai ke pagi. Kalau tak, biasanya nak sampai pagi tu macam garing badan. Pagi tadi dah boleh hantar ke BS sebab badan sekadar dedar je. Umi tak boleh nak ambik cuti sebab dah cuti balik kampung hari tu. Tadi telefon BS, katanya dah tak demam cuma masa sarapan tadi dia muntah mungkin perut masih tak selesa. Apapun, usaha kita perlulah dipulangkan pada Allah jua. Dia Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.


Mari kita tengok sikit fakta berkenaan asam jawa yang saya salin dari blog ligakampung.com 


Pokok Asam jawa atau juga Celagi ialah sejenis pokok saka malar hijau yang terdapat di hutan Malaysia. Nama botaninya Tamarindus indica.

Dari pokok tersebut, buah asam jawa akan diambil untuk kegunaan harian. Buah asam jawa merupakan sejenis ramuan masakan yang terkenal dikalangan masyarakat Melayu. Buah asam jawa juga boleh dimakan begitu sahaja ataupun dengan ditambah dengan gula dan belacan.

Asam jawa mempunyai kelonsong yang mengandungi beberapa biji asam jawa didalamnya. Kelonsongnya yang keras akan dipecahkan dan isinya akan diasingkan dari biji benih yang terdapat didalamnya.

Asam jawa merupakan sejenis ramuan masakan yang terkenal dikalangan masyarakat Melayu. Biasanya asam jawa akan dilarutkan ke dalam air dan hanya airnya digunakan dalam masakan. Hampasnya pada kebiasaannya dibuang.

Selain digunakan dalam masakan, asam jawa juga boleh dimakan begitu sahaja ataupun dengan ditambah dengan gula. Selain itu asam jawa juga digunakan secara tradisional bagi mengubat batuk dan perit tekak.

Asam jawa banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Di India, orang India mengunyah kulit pokok asam bersama -sama dengan daun sirih atau dimakan begitu saja bagi menjaga kesihatan badan ,terutamanya bagi wanita yang mengandung manakala dalam perubatan tradisional orang Timur, asam jawa dan akar pokoknya digunakan bagi menyejukkan badan dan sebagai pelawas. Kayu terasnya pula sebagai pelawas buang air besar dan air kecil, ubat penyakit hati dan penawar kurang selera. Kulit buah dan kulit kayu asam jawa dijadikan ubat cirit-birit. Ini adalah kerana kulit buah dan kulit kayu mengandungi banyak tanin manakala isinya banyak asid tartar. Kulit kayu juga dijadikan losyen untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti bisul, bengkak, ulser dan gatal kerana terkena gigitan serangga. Air rebusan daun diminum sebagai penawar demam panas dan dapat melegakan lelah. Manakala daun muda ditumbuk lumat dan di tampal untuk mengubati penyakit reumatisme, luka dan bisul. Jus daun muda boleh mengubati mata merah dengan cara dipanaskan sedikit dan ditapis lalu dititiskan pada mata berkenaan.



Pic: google. Saya punya tengah minum ni...hehe.








1 comments:

Azlyalexander said...

Salam. Baru cuba utk baby dmm. Just sapu2 asam jawa yg dicmpur air sikit kat kepala baby. Mudah mudahan dgn izin Allah sembuhlh hendaknye.