Tajuk dan perbincangan dikutip daripada akhbar KOSMO! September 2010.
Kemudahan teknologi seperti komputer dan telefon bimbit menyebabkan semakin ramai remaja di China dan Jepun kehilangan kemahiran menulis bahasa ibunda kerana terlupa strok huruf tersebut.
Kajian menunjukkan fenomena amnesia atau hampir terlupa terhadap strok tulisan bahasa Cina semakir meluas di kalangan golongan muda hingga menyebabkan sistem penulisan bahasa itu dilihat semakin terancam. Sementara itu, remaja di Jepun juga dilaporkan sedang berdepan dengan masalah yang hampir serupa apabila mereka sudah terlalu biasa menggunakan karakter yang disediakan pada komputer dan telefon bimbit.
Berdasarkan kajian pendapat yang dilakukan oleh akhbar China Youth Daily keluaran April 2010 mendapati 83% daripada 2,072 pembaca mengakui mempunyai masalah penggunaan huruf dalam penulisan Li Hanwei, 21, memberitahu, oleh kerana ragu-ragu apabila ingin menulis, setiap kali dia ingin menulis sesuatu dalam bahasa Cina, dia terpaksa merujuk kepada telefon bimbit. Masalah lupa huruf berlaku kerana kebanyakan kaum muda China menggunakan sistem input elektronik yang menterjemahkan huruf Cina kepada abjad rumi.
Di Jepun, terdapat tiga sistem penulisan telah digabungkan menjadi satu. Telefon bimbit dan komputer digunakan dengan kaedah mudah iaitu skrip hiragana dan katakana.
"Saya telah banyak lupa huruf-huruf yang dipelajari ketika di bangku sekolah dulu. Saya cenderung lupa huruf yang jarang digunakan," akui Ayumi Kawamoto, 23.
Pensyarah bahasa Cina dan Sastera Universiti of Pennsylvania, Victor Mair memberitahu, fenomena lupa huruf merupakan satu proses evolusi semula jadi.
"Alasan kenapa huruf amat sukar diingati kerana dengan menggunakan komputer, pengguna hanya perlu menekan papan kekunci," katanya.
Kajian yang dijalankan oleh portal berita China, Dayang Net, mendapati sebanyak 80% responden telah lupa bagaimana untuk menulis beberapa ayat. Malah, 43% pula memberitahu, mereka menggunakan huruf dengan tulisan tangan ketika menandatangani sesuatu borang sahaja.
Situasi di Malaysia
Saya terpanggil menulis kembali artikel akhbar di atas kerana mendapati situasi yang sama juga telah dan bakal melanda masyarakat Malaysia amnya dan Melayu khasnya. Mungkin kita rasa kita masih lagi tiada masalah jika diminta menulis dengan tangan, tetapi adakah kita perasan yang tulisan kita sudah tidak secantik dan sekemas dahulu (zaman sekolah atau zaman belum adanya kemudahan komputer setiap masa). Kalau diminta menulis satu muka surat pun saya kira kita akan rasa lenguh tangan. Saya perasan, saya juga jarang menulis dengan tangan. Apa ya yang saya tulis dengan tangan? Mungkin nota conteng-conteng, senarai barang untuk dibeli, mencatat no telefon (itupun biasanya minta kawan SMS saja, punyalah malas). Pernah baru-baru ni saya cuba menyalin dan membuat ringkasan lit review dalam buku nota...Ya Allah, nak tulis satu muka surat penuh tu pun saya rasa letih sangat, rasa banyaknya nak kena tulis. Tulisan pun cakar ayam. Sedangkan masa zaman sekolah dulu, satu buku nota tebal tu penuh dengan nota tulisan tangan saya, tak pernah mengeluh penat pun. Last-last saya taip je ringkasan tu dengan alasan, nanti kena taip juga baik taip siap-siap tak perlu buat kerja dua kali.
Sememangnya tuntutan hari ini, semuanya perlu dimasukkan ke dalam komputer. Borang pun sekarang diisi secara online. Nak tulis surat, guna saja emel. Kad jemputan kahwin pun dah kurang popular sebab dah ada laman sosial dan SMS. Nak buat reminder, handphone kan dah ada semuanya. Diari? Blog nilah diari,kan?
Ok, itu kita bercakap tentang tulisan rumi (roman). Macam mana dengan TULISAN JAWI? Tulisan yang melambangakn identiti bangsa Melayu. Hmmm..berapa ramai golongan muda yang tak pandai baca jawi? Inikan pula nak menulis jawi. Saya rasa dalam konteks tulisan jawi, masyarakat Melayu lebih malang daripada masyarakat Cina dan Jepun seperti laporan akhbar di atas. Sebabnya, bukan saja tak pandai menulis malah tak pandai membaca. Saya sendiri pun jarang-jarang sangat membaca tulisan jawi. Yelah, di mana nak baca? Cuma di akhbar Utusan Melayu je. Itupun berapa muka surat la sangat. Apa pula keperluannya? Saya juga tak mahir dengan ejaan jawi terkini. Saya memang boleh membaca dan menulis jawi sejak zaman sekolah rendah tetapi perubahan-perubahan dalam struktur ejaan saya tak pernah ambil tahu. Asalkan boleh baca dan faham, sampai mesej, sudah. Pendek kata, tatabahasanya tidak saya titik beratkan. Masa saya dipanggil temuduga untuk jawatan editor di syarikat penerbitan majalah kanak-kanak, Ana Muslim dan Sayang Muslim tahun lepas, penemuduga ada bertanya tentang kebolehan jawi saya. Saya menjawab jujur, saya tidak peka dengan jawi terkini tetapi saya sedia belajar kerana rujukannya ada.
Saya juga tak pasti macam mana dengan silibus J-QAF, tetapi apa yang saya tahu pendidikan jawi memang diterapkan. Sekurang-kurangnya biarlah anak-anak kita terus mewarisi tulisan Melayu itu, kerana tulisan jawilah sebenarnya tulisan orang Melayu. Walaupun dicedok daripada tulisan Arab, tetapi tulisan jawi tidak sama dengan tulisan Arab. Tulisan rumi pula bukan tulisan asli orang Melayu, sebaliknya memang nyata dipinjam, namanya saja pun kita dah tau.
Ok, kalau nak lebih ekstrim lagi..kita pergi pula pada tulisan KHAT. Hahaha...mata pelajaran khat ni lah yang paling saya tak suka masa sekolah agama rakyat dulu. Nak asah pensel saja pun saya dah tak suka. Pensel 2B tu nak diasah, ditarah molek-molek supaya matanya akan menghasilkan tulisan yang lebar..bukan setakat lebar, ada pulak seni di hujungnya. Huh, memang saya asyik dapat C je la yang Ust Musa bagi. Fed up dengan pensel 2B yang sat sat nak kena asah tapi saya tak reti (sebab mak yang asah siap-siap kat rumah), saya terus beli pensel tukang rumah yang sedia lebar matanya tu.hehe. Tau ke macam mana rupanya? Ala..yang warna merah belang hitam tu. Jap saya google..ooo..tanya dalam bahasa Melayu pensel tukang depa taktau, kena tanya dalam BI no.
Saya risau generasi anak-anak kita nanti macam mana la. Adakah pegang pensel pun tak reti disebabkan teknologi yang semakin canggih. Saya tau sekarang pun budak-budak sekolah dah kena buat latihan guna komputer, mungkin sekolah menengah la sekolah rendah belum lagi kot. Tak mustahil ye generasi yang lebih muda nanti tak pandai menulis. Yelah dah tak dilatih sejak kecil, walaupun kenal huruf tapi bila kena tulis sendiri pegang pensel pun terkial-kial. Saya yakin tentu ada kelebihannya apabila kita menulis dengan tangan, tentu ada kesan ekstra pada otak kerana saraf pada jari jemari dan tangan kita turut bekerja sama dengan apa yang ditulis.
Nota: umi bagi juga Sofiy menulis, tapi guna pensel magnetik saja...kena bagi pensel betul ni sebab nampak dia tak pandai nak tekan pensel sampai keluar warna hitam tu disebabkan biasa guna pensel magnetik tak payah tekan-tekan.
0 comments:
Post a Comment