Sistem laporan: Kaedah memaksa diri supaya PhD disentuh setiap hari

Ni dah tahap kena paksa dah ni, lama sangat berehat aih. Mentangla hari tu balik kampung, mood bercuti takmau blah pulak dah. Haru!

Sepanjang saya dok keluar masuk rumah bakal-bakal Dr. Phd dan juga yang sudah berjaya jadi Dr. Phd, saya dapati Phd ni yang susahnya bila kena berlawan dengan diri sendiri. Ramai yang kata, cenderung untuk buat kerja yang bukan PhD lebih daripada Phd. Ada yang mengambil langkah tutup fb, bersara daripada blogging, tutup terus internet..hehe. Ada yang kata tulis minima 1000 perkataan sehari, ada yang kata paling kurang sehelai sehari dan macam-macam lagi. Ikut kemampuan masing-masing. Kalau tengok tips daripada yang telah berjaya pulak, antara perkara yang ditekankan adalah fokus, disiplin, pengurusan masa, hubungan dengan supervisor dan hubungan dengan Allah.

Saya juga pernah dijemput menghadiri kuliah khas untuk pelajar pascasiswazah di pusat pengajian kami ni. Pengerusi pusat dan beberapa orang pensyarah memberikan talk secara santai berkenaan susah payah dan cabaran dalam menghasilkan sebuah tesis. Apa yang paling saya ingat, Dr. N ada menyatakan tesis ni tak boleh ditinggalkan walaupun untuk masa yang sekejap. Kalau awak dah tinggalkan tesis selama setengah  hari, awak akan cenderung meninggalkannya untuk setengah hari lagi. Sekiranya awak tidak fikirkan tesis selama satu hari, jangan pelik jika awak terus tak fikirkan tesis tersebut sampai dua hari. Begitu juga kalau dah tinggalkan seminggu, cenderung untuk jadi double = dua minggu, seterusnya sebulan dan kalau dibiarkan tesis tersebut akan terbengkalai dan tidak dapat disiapkan. Saya mengakuinya sebab masa saya buat master, saya cuti bersalin 3 bulan tanpa sentuh langsung tesis sebab sebelum bersalin tu tesis saya hilang dimakan virus semua sekali, kesannya saya nak dapat semula momentum tu memakan masa hampir sama dengan 3bulan mengakibatkan saya kena extend satu semester.

Prof. saya dulu juga pernah pesan bila dia lihat progress saya tak berapa bagus. "Buat tesis memang macam ni, saya tau saya pun dah pernah lalui. Cabarannya macam-macam, sakitlah, isteri bersalin la, anak demamlah, macam-macamlah. Walau apapun, awak kena juga menulis. Setiap hari WAJIB tulis, tak kiralah satu muka ke, satu perenggan ke, hatta satu ayat pun. Kalau awak tak buat macam tu nanti awak lost tak jumpa arah dah kat mana nak tulis."

Jadi, semalam saya memikirkan bagaimakah caranya supaya saya tak terus-terusan hanyut dengan waktu yang bergerak pantas ini. Maka saya menetapkan bahawa saya perlu buat satu sistem laporan. Saya mesti melaporkan apa yang saya buat berkenaan Phd setiap hari, kecuali hari yang diisytiharkan cuti. Ala..macam buku persediaan mengajar cikgu-cikgu tu la. Saya rasa ada bagusnya sistem ini. Selain saya terpaksa mendisiplinkan diri sendiri, saya juga boleh melihat perkembangan penyelidikan saya dari masa ke masa. Jadi saya akan lebih sedar diri yang masa takkan menunggu saya. Senang juga saya nak rujuk apa-apa maklumat selain buku nota yang sedia ada.

Ok, saya akan mulakan sistem ini pada hari ini 14/4/2011. InsyaAllah, kalau ada kelapangan akan saya masukkan di blog. Saya tak menetapkan 'kuantiti' sesuatu yang saya perlu buat tetapi lebih kepada "MESTI BUAT' saja. Tak kiralah apa aspek sekali pun, lit review ke, data ke, teori ke, baca satu bab ke, baca satu jurnal ke, baca satu muka surat ke, ataupun buat ringkasan saja malah menyusun daftar rujukan juga, asalkan ada kena-mengena dengan Phd. Sekiranya saya rasa perlu untuk menetapkan kuantiti dan kualiti pada satu masa nanti, maka saya akan tetapkan kemudian. Untuk masa ini cukuplah begini dulu, takut buat syarat ketat-ketat nanti langsung tak ikut pulak, kan naya? Kita kenal diri kita masing-masing kan, maka buat ikut kemampuan dan kemahuan diri sendiri. Semoga Allah mempermudahkan.

Nota: Teringat masa mula-mula masuk kerja jadi research assistant dulu, ada satu projek tu semua RA dia kena tulis laporan setiap hari macam ni la dan hantar atau present dalam meeting yang akan diadakan setiap minggu. Kalutla depa. Hihi. Biasanya laporan akan dibuat pada sehari sebelum meeting dan bertanya kawan-kawan sepenyelidikan "Isnin aku buat apa ye? Selasa?" Kawan menjawab, "Selasa kita mengular je," kih kih kih.Boleh masuk dalam laporan gitu?

0 comments: